
(Wartawan, Azizi Sunip / sumber : TV Pertiwi)
Oleh Azizi Sunip (azizisunip@tvpertiwi.com.my)
Mungkin mesin yang kaku tak bernyawa itu langsung tidak membahayakan. Awas, ia boleh menelan mangsa dan mungkin membawa kepada maut!
Baru-baru ini tular di media sosial bahawa kemudahan jejantas dan tangga bergerak tidak berfungsi berhampiran Stesen LRT Sri Rampai di ibu negara hampir lima tahun oleh seorang individu menerusi akaun Twitternya.
Hantaran yang dimuat naik itu mendapat reaksi pelbagai pihak termasuk pengurusan Rapid KL sendiri. Menurut Rapid KL, jejantas itu bukan di bawah penyelenggaraan pihak mereka tetapi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
Hasil tinjauan wartawan ke lokasi mendapati, beberapa orang penduduk yang ditemui memang mengakui:
Hampir lima tahun tangga bergerak itu tidak boleh digunakan walaupun kemudahan ini nampak canggih dari jauh tetapi pasti berasa hampa kerana rosak kerana tidak diselengara dengan baik.
Menurut salah seorang penduduk, Ikmal Ismail, 32 tahun, berangapan kewujudan kemudahan seperti ini yang hanya gah di mata pelancong tetapi hakikatnya tidak berfungsi.
“Kalau naik daripada sini tanpa ‘eskalator’ boleh tetapi melambatkan pengguna, jadi apa gunanya kemudahan ini dibina? Saya tidak pasti pihak mana yang bertanggungjawab terhadapnya, ibarat melepaskan batuk di tangga”,
“Kalau boleh buatlah pembaikan dan boleh digunakan, bukan saya seorang sahaja bahkan penduduk di sini terutamanya murid sekolah dan warga emas,” katanya.
Masalah yang sama turut dihadapi oleh Siti Syakila Nordin, 28 tahun yang hampir setiap hari menggunakan jejantas itu untuk ke tempat kerja.
Katanya, bagi pengguna muda memang tiada masalah menggunakan tangga tetapi bagaimana pula kepada golongan kurang upaya?
“Pihak berwajib sepatutnya membaik pulih kemudahan ini untuk kesenangan pengguna, ini tidak boleh dibiarkan lama kerana menyusahkan orang tua dan golongan kurang upaya,” Katanya dengan nada kesal.
Dalam pada itu, tinjauan wartawan turut menemui lokasi di bahagian bawah eskalator dikotori dengan sampah sarap yang tidak berkutip dan juga kepala paip tidak diselengara dengan baik menyebabkan air bertakung sehingga mengeluarkan bau yang meloyakan.
Dari pemerhatian wartawan, laluan tersebut juga digunakan penduduk dari kediaman berhampiran ke jejantas dan stesen LRT Seri Rampai yang dipercayai menjadi lokasi pembiakan nyamuk Aedes.
TONTON VIDEO DI SINI