
(Ketua Polis Negara, Acryl Sani Abdullah)
SELASA, 16 NOVEMBER – Ketua Polis Negara, Acryl Sani Abdullah tampil menjelaskan keistimewaan yang diberikan kepada semua bekas perdana menteri selepas beberapa hantaran di media sosial mempertikaikan perkhidmatan pengiring kepada Najib Razak walaupun disabitkan beberapa kesalahan rasuah.
Acryl berkata polis tertakluk kepada undang-undang menyediakan perkhidmatan pengiring keselamatan dan trafik kepada bekas perdana menteri di bawah peruntukan Akta Ahli Parlimen (Saraan) 1980 (Akta 237).
Jelas Acryl, buat masa ini, PDRM memberikan perkhidmatan berkenaan kepada kesemua bekas perdana menteri Malaysia.
Mana-mana bekas perdana menteri yang berhadapan tindakan undang-undang, PDRM akan kekalkan kelayakan kemudahan khidmat pengiring keselamatan dan trafik kepada mereka, sehingga proses rayuan dimuktamadkan oleh mahkamah.
Najib merupakan satu-satunya bekas perdana menteri yang disabitkan dengan tuduhan jenayah.
Beliau didapati bersalah tahun lalu atas tujuh pertuduhan yang dikaitkan dengan skandal 1MDB sekali gus dijatuhi hukuman penjara 12 tahun.
Bekas perdana menteri itu juga turut didenda RM210 juta atas pertuduhan berkaitan RM42 juta dana SRC International.
Bagaimanapun, beliau diberikan penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuannya di Mahkamah Rayuan.
Selain pertikaian terhadap khidmat pengiring bagi Najib, media sosial turut hangat membahaskan laporan permohonan bekas perdana menteri itu untuk mendapatkan rumah percuma di kawasan mewah Kuala Lumpur diluluskan Putrajaya.