
(foto hiasan)
RABU, 17 NOVEMBER – Teks sahih Perlembagaan Persekutuan masih dalam Bahasa Inggeris dan bukannya Bahasa Melayu walaupun sudah lebih 60 tahun merdeka.
Mengulas lanjut, Pengerusi Pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) Haji Aminuddin Yahaya melahirkan rasa kecewa kerana tidak ada seorang pun ahli parlimen apatahlagi Menteri Undang-Undang ataupun Perdana Menteri yang cuba mengusulkan perkara ini.
Haji Aminuddin Yahaya sebagai Pengerusi PEMBELA berkata :
“Teks sahih Perlembagaan Persekutuan masih dalam Bahasa Inggeris sangat menyedihkan kerana ahli-ahli parlimen kita terlalu ramai merupakan graduan undang-undang dan malah di antara mereka adalah penggubal undang-undang, namun tidak ada seorang pun cuba mengusulkan perkara ini.”
Beliau berkata, ia sangat menyedihkan kerana ahli-ahli parlimen di negara ini terlalu ramai bergraduan undang-undang dan ada di antara mereka sendiri adalah penggubal undang-undang.
Aminuddin turut difahamkan sudah lama peguam-peguam termasuk dari Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia menyuarakan dan memperjuangkan isu ini tetapi dipandang sepi.
Tambahnya, alangkah baiknya juga agenda ini diangkat oleh parti-parti yang sering melaungkan bahawa mereka memperjuangkan bahasa dan identiti kebangsaan.
Dengan nada tegas, beliau turut mencabar mana-mana gabungan parti boleh memasukkannya dalam manifesto mereka pada Pilihan Raya Umum ke-15 nanti.
Dalam pada itu Aminuddin mengajak lebih ramai lagi menyuarakan isu ini dengan harapan ‘penggubal undang-undang’ akan mengambil serius isu ini dan tidak mahu melihat ada pihak yang melatah dan tidak senang dengan perkara ini.