
(Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar)
RABU, 24 NOVEMBER – Pilihan Raya Umum Ke-15 tidak sesuai diadakan dalam tempoh terdekat. Mengulas lanjut, Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar berkata, PRU-15 boleh diadakan tapi bukan dalam tempoh terdekat kerana mengambil kira keadaan semasa kes harian Covid-19 yang belum stabil.
Datuk Zainal berkata, pasca Pilihan Raya Negeri Melaka turut menjadi tanda aras bagi menentukan bagaimana keadaan kes harian Covid-19 dalam tempoh 2 hingga 3 minggu.
“Sekarang ni keadaan covid tu kita tak nampak stabil nampak ada kes naik turun dan dengan keadaan kes akan tinggi jangkaan jadi saya rasa pru boleh diadakan tapi seeloknya kita tunggu keadaan selepas daripada PRN Melaka jadi semasa PRN Melaka dulu banyak SOP, cara dan sebagainya telah dibuat jadi kita kena tengok samada sop berkesan vaksin berkesan dan sebagainya dan jika diorang katakan keadaan stabil tidak berlaku peningkatan kes tidak berlaku kluster yang besar macam di sabah dulu jadi orang katakan bolehlah dirancangkan betul-betul tapi bukan dalam tempoh terdekat mungkin ambil masa sikit untuk kita lihat ataupun tengok secara terperinci kesaan pada PRN Melaka dari segi sebaran covid-19 ini.”
Sebelum ini, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, PRU-15 perlu dipertimbang untuk diadakan dalam masa terdekat supaya mandat baharu dapat diserahkan semula kepada rakyat.
Perkara itu disuarakan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, sebaik saja BN memenangi PRN Melaka sabtu lalu, dengan mengambil kira sentimen rakyat ketika ini.

(Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim)
Dalam pada itu, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, PRU-15 tidak harus diadakan awal bagi memberi peluang kepada pengundi 18 terlibat pada PRU kali ini.
Lapor Utusan Malaysia, Shahidan Kassim berkata, pengundi 18 tahun yang meliputi jumlah lebih besar sudah pasti akan memberi impak kepada politik negara sekali gus mereka perlu diraikan sebagai pengundi pertama pada PRU kali ini.
Ahli Parlimen Arau itu turut mengingatkan semua pihak agar perlu memikirkan bebanan rakyat ketika ini yang masih memerlukan pembelaan kesan daripada Covid-19.