
(Ketua UMNO bahagian Tangga Batu Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad)
KHAMIS, 25 NOVEMBER – Kerajaan negeri Melaka perlu mempertimbang semula pemberian tanah wakaf kepada penduduk Kampung Batang Tiga, Klebang yang kebanyakan ahli keluarga mereka telah tinggal di situ sejak 100 tahun lepas.
Permohonan bagi penduduk kampung berkenaan mendapatkan tanah dipercayai telah dibuat sejak 10 bulan lepas namun keputusan permohonan itu yang ditolak, hanya diketahui tiga hari lepas.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Batang Tiga Mustafa Mohamed Baboo berkata, sebagai wakil penduduk dan anak jati kampung berkenaan, beliau berharap masalah dihadapi mereka dapat diselesaikan segera agar dapat memberi kelegaan kepada penduduk.
Ujarnya, pada 2 tahun lepas, penduduk telah diberikan notis untuk keluar dari tanah wakaf ini dalam tempoh sebulan sehingga ada antara mereka yang dimasukkan ke hospital akibat terkejut dan sedih kerana risau memikirkan nasib dan masa hadapan mereka.
Malah, kebanyakan penduduk di kampung berkenaan terdiri daripada warga emas serta bukan golongan senang.
Dalam pada itu Ketua UMNO bahagian Tangga Batu Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad berkata, tanah milik kerajaan negeri seluas satu hektar yang diduduki 15 keluarga melibatkan 59 penduduk itu termasuk tanah perkuburan, kini telah diserahkan kepada Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) untuk dijadikan tanah wakaf.
Pihaknya turut merasa kesal kerana permohonan 15 keluarga di Kampung Batang Tiga untuk mendapatkan tanah tersebut telah ditolak sedangkan ada ahli keluarga mereka yang telah menetap di situ sejak 100 tahun lepas.
Jelasnya, mungkin kerajaan negeri terlepas pandang masalah penduduk di kampung ini dan mungkin ketika MAIM membuat permohonan tanah tersebut, mereka tidak menjelaskan kepada kerajaan negeri bahawa terdapat penduduk yang tinggal di atas tanah itu sejak sekian lama.