
(Pengerusi Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia, Zulhelmi Mansor / sumber : utusan)
JUMAAT, 10 DISEMBER – Pengerusi Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia, Zulhelmi Mansor menggesa agar kerajaan menubuhkan Badan Kawal Selia Khas bagi sektor ini, sepertimana yang diumum Perdana Menteri.
Ini berikutan isu penghantar P-Hailing yang terjejas pemarkahan akibat mengambil rehat untuk menunaikan solat dan menolak pesanan yang tidak halal termasuk arak.
Menurut Zulhelmi, apakah adil jika pemarkahan waktu bekerja penghantar P-Hailing ini dikurangkan jika mereka berhenti rehat untuk bersolat, dan pemarkahan kadar penerimaan pula dikurangkan jika mereka menolak pesanan yang jelas tidak halal seperti arak dan daging babi.
“Di peringkat persatuan, sudah tiba masanya suara kerajaan ini memainkan peranan dalam menghentikan segera segala bentuk eksploitasi dan penindasan kepada Rakan-Rakan Penghantar P-Hailing.”
Beliau turut mempersoalkan, berapa lama lagikah masa yang perlu diambil oleh kerajaan, terutamanya dalam menubuhkan Badan Kawal Selia Khas untuk Sektor P-Hailing berkenaan.
Tambahnya, di peringkat persatuan pihaknya telah menyuarakan isu ini kepada pelbagai organisasi, antaranya Kementerian Sumber Manusia, Jabatan Agama Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dan banyak lagi.