
( Datuk Idris Ahmad, Menteri Hal Ehwal Agama berkata berharap Arab Saudi tidak akan sekat atau tutup kemasukan jemaah disebabkan Covid-19 / sumber : TV Pertiwi)
JUMAAT, 7 JANUARI – Kerajaan berharap Arab Saudi membenarkan pelaksanaan ibadah haji oleh jemaah luar negara tahun ini, walaupun dunia berhadapan dengan ancaman varian baharu COVID-19, Omicron.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad berkata pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan kerajaan Arab Saudi selewat-lewatnya Februari ini bagi membincangkan hal-hal berkaitan termasuk pengekalan kuota seramai 30,000 jemaah setiap tahun.
Datuk Idris Ahmad, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) berkata :
“Kita harap soal COVID-19 tidak menjadi penyebab Arab Saudi sekat atau tutup kemasukan jemaah. Setakat ini, Arab Saudi hanya laksanakan semula penjarakan antara saf bagi mengawal jangkitan”
Jelasnya, setakat pertemuan awal dengan kerajaan Arab Saudi Disember lepas, ibadah haji untuk tahun ini masih dibenarkan dan mereka pun tidak berhasrat untuk tutup.
Beliau berharap soal COVID-19 tidak menjadi penyebab Arab Saudi sekat atau tutup kemasukan jemaah. Setakat ini, Arab Saudi hanya laksanakan semula penjarakan antara saf bagi mengawal jangkitan.
Bagi musim Haji 1442 hijrah, Arab Saudi mengehadkan ibadah haji hanya untuk rakyatnya dan golongan ekspatriat yang berada di negara itu susulan pandemik COVID-19 yang belum reda.
Kementerian Kesihatan (KKM) melaporkan 3,543 kes positif baharu COVID-19 pada 6 Januari.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, yang berkongsi ringkasan laporan itu berkata, ia menjadikan keseluruhan melepasi 2.8 juta kes positif akibat wabak itu di Malaysia setakat ini.