
( Mahkamah Tinggi Jenayah satu Shah Alam hari ini menyemak keputusan kes remaja curi tabung masjid/ sumber : TV Pertiwi)
ISNIN, 17 JANUARI – Mahkamah Tinggi Jenayah satu Shah Alam hari ini menyemak keputusan kes seorang remaja lelaki yang dijatuhi hukuman penjara 10 hari dan denda RM4 ribu kerana mencuri tabung masjid baru-baru ini.
Prosiding semakan itu dihadiri peguam dari Persatuan Peguam-peguam Muslim Malaysia (PPMM) pada jam 9 pagi tadi.
Turut hadir di mahkamah, Peguam Kanan Mohamed Haniff Khatri Abdulla, Peguam Muhammad Hariz Md Yusoff dari PPMM bersama tiga lagi peguam mewakili Daniel Iskandar.
Merujuk kepada pelbagai versi fakta dan penceritaan berkaitan latar belakang Daniel Iskandar dan kejadian berkenaan PPMM berpandangan tidak begitu sihat dari sudut keadilan dan kepentingan Daniel, mahupun mana-mana pihak yang berkaitan untuk diteruskan di media sosial, terutamanya dalam menghormati prosiding yang akan berlangsung di Mahkamah Tinggi Shah Alam.
PPMM melalui Tetuan Hariz Syakinah and co. bagi pihak Daniel turut memohon semua pihak untuk tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh menampilkan kekeliruan lanjut di pihak masyarakat awam sehinggalah penyelesaian prosiding di mahkamah.
Khamis lepas, Mahkamah Majistret Selayang menjatuhkan hukuman penjara 10 hari dan denda RM4,000 ke atas Daniel selepas mengaku cuba mencuri tabung masjid pada 8 Januari.
Media sebelum ini melaporkan tular di media sosial video berdurasi satu minit 25 saat yang memaparkan tindakan jemaah sebuah masjid memandikan remaja itu seperti jenazah serta melumurkan dengan kapur barus kerana mencuri tabung masjid.