
(Helikopter pengangkut berat CH-47 Chinook dan kapal HMAS Adelaide milik Tentera Australia bersedia di pelabuhan Brisbane untuk menyertai misi bantuan di Tonga. – Foto REUTERS / sumber : bharian)
KHAMIS, 20 JANUARI – Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sedang bersiap sedia menjalankan operasi bantuan buat Tonga dari jauh bagi mengelakkan penularan COVID-19 di negara kepulauan Pasifik itu susulan letusan gunung berapi dan tsunami.
Semua rumah di salah sebuah pulau kecil di Tonga musnah dan tiga orang meninggal dunia, kata pemerintah dalam kenyataan pertama selepas letusan dahsyat Sabtu lalu, dianggap sebagai ‘bencana yang tidak pernah berlaku sebelum ini’.
“Negara kepulauan kecil itu mempunyai 90 peratus kadar imunisasi dalam kalangan orang dewasa dan juga golongan muda berumur 12 tahun ke atas,” katanya.
Justeru, tambah beliau, mereka amat berhati-hati membuka sempadan seperti kebanyakan pulau Pasifik lain kerana sejarah membuktikan wabak penyakit di Pasifik mampu menghapuskan masyarakat di situ.
PBB mempunyai 23 orang di lapangan termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) antarabangsa lain untuk melakukan usaha bantuan, kata Veitch.
Beliau berkata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) akan berbincang dengan pemerintah Tonga tetapi tidak akan melakukan apa-apa untuk mengancam keselamatan protokol COVID-19 dan keselamatan penduduk.
Ketua saintis di Pusat Penerbangan Angkasa Goddard NASA, Dr James Garvin, berkata kekuatan letusan gunung berapi di Tonga dianggarkan bersamaan dengan lima hingga 10 megaton TNT.
Kuasa letupan itu lebih 500 kali ganda bom nuklear yang dijatuhkan Amerika Syarikat (AS) di Hiroshima, Jepun pada akhir Perang Dunia Kedua.
Kerajaan Tonga sudah mula memindahkan penduduk yang terkandas di beberapa kawasan terpencil.
Bekalan air terjejas teruk oleh abu gunung berapi dan bekalannya kini menjadi kebimbangan utama, kata pejabat perdana menteri dalam satu kenyataan lewat kelmarin.
Tonga dijangka membuat permintaan rasmi bagi dapatkan bantuan tidak lama lagi.
Sementara itu, kapal New Zealand dan Australia sudah berlepas dengan membawa bekalan air, pasukan peninjau dan helikopter.
Perdana Menteri Australia, Scott Morrison, pada sidang akhbar di Canberra, berkata beliau berharap dapat berbual dengan Perdana Menteri Tonga, Siaosi Sovaleni, secepat mungkin.
“Ia adalah sekitaran yang sangat sukar untuk beroperasi dengan kepulan abu, asp tebal dan pelbagai halangan lain.
“Pasukan pertahanan kami meneruskan operasi mereka dan mengerahkan segala kelengkapan yang ada, seperti yang diarahkan,” katanya.
Pulau itu sebahagian besarnya masih sukar dihubungi selepas letusan gunung berapi merosakkan satu-satunya kabel komunikasi fiber optik bawah laut, yang mungkin mengambil masa beberapa minggu untuk dibaiki. – REUTERS
-Berita Harian