JUMAAT, 21 JANUARI – Menteri Besar, Datuk Hasni Mohamad, akan mengadakan sidang media khas esok, dengan khabar angin mengaitkan ia akan membawa kepada pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN).
Sumber UMNO Johor mengesahkan perancangan sidang media itu selepas Badan Perhubungan UMNO Johor mengadakan mesyuarat khas esok.
Sumber itu juga berkata esok, UMNO Johor dijadualkan mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan secara lanjut mengenai PRN negeri, terutama pembentangan nama-nama calon.
Kesemua 26 ketua bahagian UMNO Johor akan hadir mesyuarat esok dan selepas itu satu sidang media khas dijangka diadakan.
Setakat ini masih tiada tarikh sebenar pembubaran DUN Johor seperti yang didakwa sebuah portal semalam, namun ia memang ke arah itu dalam masa terdekat.
Sebuah portal semalam mendakwa surat permohonan pembubaran DUN oleh Menteri Besar telah dihantar kepada pejabat Speaker DUN Johor, Suhaizan Kaiat.
Laporan itu yang memetik sumber UMNO turut mendakwa, DUN Johor akan dibubar pada Ahad ini, selepas permohonan untuk pembubaran DUN telah mendapat perkenan Istana Johor.