
( Mahkamah Persekutuan menolak kebenaran kepada Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Ketua Pendaftar Muallaf Selangor untuk status agama Islam 5 kanak-kanak dikembalikan/ sumber : TV Pertiwi)
KHAMIS, 27 JANUARI – Mahkamah Persekutuan semalam, menolak kebenaran kepada Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Ketua Pendaftar Muallaf Selangor untuk merayu supaya status agama Islam 5 kanak-kanak dikembalikan.
Rayuan kedua-dua agensi agama negeri itu berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam 2020 untuk membatalkan penukaran agama yang dimulakan oleh bapa mualaf mereka.
Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan oleh Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat, pagi ini sebulat suara menolak permohonan supaya dua badan agama negeri itu mendapat kebenaran untuk meneruskan rayuan.
Anggota panel hakim mahkamah tertinggi yang lain hari ini ialah Vernon Ong Lam Kiat dan Hasnah Mohammed Hashim.
Untuk rekod, MAIS dan Ketua Pendaftar Muallaf Selangor memohon untuk mengembalikan semula status penukaran agama kelima-lima kanak-kanak itu, di mana Mahkamah Tinggi telah mengisytiharkannya sebagai tidak sah.