BANGI, Jumaat – Keputusan memansuhkan harga subsidi bagi ayam, telur serta minyak masak yang akan bermula 1 Julai depan dianggap tindakan yang tidak tepat buat masa ini.
Naib Presiden BERJASA, Samad Ashaari berkata, satu memorandum akan dihantar kepada kerajaan dalam masa terdekat bagi menggesa penangguhan pemansuhan harga subsidi tersebut.
“Keputusan untuk mansuhkan kawalan harga bagi barangan asas ini perlu ditangguhkan dahulu memandangkan rakyat kini berdepan saat getir untuk kembali bangkit selepas berdepan musibah COVID-19 selain keadaan ekonomi yang semakin tertekan.”
SAMAD ASHAARI / Naib Presiden BERJASA
Memetik ISMAWEB beliau berkata, keputusan penyerahan memorandum berkenaan dibuat selepas mengadakan mesyuarat khas dan melihat langkah yang dibuat kerajaan adalah tidak sesuai di saat rakyat sedang tertekan berdepan keadaan ekonomi tidak stabil.
Jelasnya, pemansuhan subsidi akan memberi kesan besar kepada rantaian barangan lain apabila harga diapungkan dengan bebas sekali gus menyebabkan rakyat yang menjadi mangsa dan lebih tertekan dengan kenaikan tersebut.
Mengulas lanjut, Samad berkata, penyerahan memorandum itu dibuat bagi menyuarakan isi hati rakyat yang kini bimbang memikirkan impak kepada kenaikan harga barangan.
Tegasnya, kerajaan ketika ini sepatutnya membantu rakyat dengan menyediakan lebih banyak bantuan bagi meringankan bebanan dan bukannya terus menghimpit rakyat dengan cara begini. Ini kerana katanya, semua pihak akan terkesan, bukan sahaja melibatkan golongan B40, tetapi juga mereka yang tinggal di bandar besar dan memerlukan kos perbelanjaan yang besar.
Justeru itu, seiring dengan memorandum tersebut pihaknya akan turut menyerahkan beberapa cadangan yang bersesuaian untuk dilakukan bagi menangani permasalahan ini.
Sebelum ini, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi menerusi kenyataan memaklumkan, kerajaan memutuskan untuk tidak meneruskan kawalan harga siling ayam dan telur ayam.
Katanya, langkah itu dilaksanakan bagi memastikan bekalan bahan makanan dalam pasaran lebih stabil dan dalam jangka masa panjang pula dapat menstabilkan harga.
Pautan FB : https://www.facebook.com/TvPertiwi/
Berita Semasa : https://tvpertiwi.com.my/2022/06/24/penyatuan-ummah-penting-dalam-mendepani-pilihan-raya/