KIMANIS, Ahad – Barisan Nasional (BN) mengesyorkan tiga jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) merangkumi wakil dari negeri Sabah, Sarawak dan Semenanjung dalam manifesto BN Sabah.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, cadangan terbabit akan dilaksanakan jika BN mendominasi kemenangan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Menurut beliau, saranan itu perlu dikemukakan oleh BN Sabah kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam membuat pertimbangan.
“Oleh kerana kerajaan sekarang tiada jawatan Timbalan Perdana Menteri, hanya ada Menteri-Menteri Kanan. Saya ingin mencadangkan kepada Datuk Seri Bung Mokhtar, mohon kepada Perdana Menteri, letakkan dalam manifesto agar ada jawatan Timbalan Perdana Menteri dari rakyat Sabah.” – Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Pengerusi Barisan Nasional (BN)
Beliau berkata demikian selepas merasmikan program Gelombang Biru Barisan Nasional Zon 3 melibatkan Kimanis, Papar, Beaufort dan Sipitang, hari ini.
Katanya, cadangan melantik tiga TPM tidak mustahil untuk dilaksanakan berikutan tiada termaktub dalam Perlembagaan serta ia merupakan pendekatan baharu untuk dimasukkan dalam manifesto.
Ahmad Zahid juga berkata jawatan TPM ini akan menentukan nasib rakyat di negeri Sabah dan Sarawak berikutan tugas mereka yang akan memperjuangkan suara rakyat di negeri masing-masing.
“Kerana TPM inilah yang akan memperjuangkan nasib rakyat negeri Sabah dengan memohon kepada Kerajaan Persekutuan untuk meminta banyak lagi peruntukan dapat diturunkan di negeri Sabah ini.” – Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Pengerusi Barisan Nasional (BN)
Sehubungan itu, beliau turut mencadangkan agar BN Sabah memohon kepada Kerajaan Persekutuan supaya peruntukan diberikan terus kepada kerajaan Negeri melalui agensi dan jabatan yang melaksanakan.
Tegas beliau, langkah tersebut adalah untuk memudahkan pelaksanaan peruntukan di peringkat kerajaan Negeri.