BANGI, Isnin – Sebanyak 1.3 juta pelajar institut Pengajian Tinggi (IPT) di seluruh negara dilaporkan mungkin terlepas peluang untuk mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Bimbang dengan peratusan yang sangat rendah kepada pemilih yang akan keluar mengundi ini, Presiden Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA), Muhammad Wafiq Azman mengesyorkan satu tindakan efektif dilakukan bagi memberi peluang para pelajar mengundi pada PRU15.
Beliau berkata antara cabaran yang dihadapi adalah pelajar-pelajar yang baru mendaftar di IPT terpaksa kembali semula ke kampung untuk mengundi.
Katanya ini, akan memberi kos yang besar kepada mereka untuk pulang ke kampung.
Malah, tarikh mengundi PRU15 iaitu pada 19 November ini dilihat serentak dengan majlis konvokesyen sebahagian universiti seperti Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Malaya (UM).
Sehubungan itu, pihak UTM telah meminda tarikh baharu majlis konvokesyen berkenaan, namun menimbulkan kekecewaan dalam kalangan pelajar kerana ada yang sudah membuat tempahan awal tiket perjalanan.

Kenyataan yang dikeluarkan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di laman Facebook rasmi.
“Golongan yang terlibat dengan konvokesyen bertembung dengan tarikh PRU-15. Ini pun salah satu cabaran untuk mereka yang dah beli tiket contohnya dari Sabah Sarawak nak ke Semenanjung dan sebaliknya. Selain itu, mereka yang terpaksa berdepan cabaran adalah mereka yang sudah sambung belajar atau pulang ke kampus tetapi mereka ini duduk di kawasan yang merentas Sabah dan Sarawak, jadi ini semua memainkan kos yang besar.” – Muhammad Wafiq Azman / Presiden PEMBINA

Muhammad Wafiq Azman / Presiden PEMBINA
Sehubungan itu katanya, IPT boleh membantu pelajar menyediakan bas dan pengangkutan untuk mereka pulang mengundi.
Bagaimanapun, langkah terbaik dilihat adalah memberi peluang kepada pelajar untuk melakukan undi pos di IPT masing-masing yang dilihat bakal menjimatkan banyak kos.
“Bantuan daripada IPT boleh diberikan dengan menyedia bas khas untuk pelajar pulang ke kampung halaman turun mengundi. Sefaham saya waktu PKP dulu memang ada usaha daripada KPT untuk bawa pelajar ini pulang ke kampung halaman dan benda itu boleh diurus. Mungkin kita boleh kategorikan buat kaji selidik pelajar-pelajar yang ada kekangan pulang ke kampung untuk turun mengundi nib oleh diberikan peluang untuk pulang ke kampung menggunakan bas university, cadangan kedua ini tertakluk kepada SPR untuk memberikan keperluan pada mahasiswa untuk undi pos tapi setahu saya pendaftaran undi pos hampir tamat so cadangan saya tarikh dilanjutkan untuk undi pos ni kita buat kepada mahasiswa itu lebih baik dan sangat menjimatkan kos berbanding kita memperuntukan kos pengangkutan mereka untuk pulang ke kampung.” – Muhammad Wafiq Azman / Presiden PEMBINA
Tambahnya lagi, IPT sangat sesuai dijadikan tempat mengundi pos dan boleh diadakan di dewan-dewan peperiksaan seperti mana program vaksinasi yang dijalankan di IPT sebelum ini.
Selain itu katanya, Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) mahupun swasta boleh memberikan peruntukan khas berbentuk duit atau baucer kepada pelajar yang turun mengundi terutama mereka yang pertama kali mengundi.
Sementara itu, Wafiq juga turut mengesyorkan agar syarikat penerbangan mahupun pengangkutan darat memberi potongan harga kepada para pelajar menggunakan perkhidmatan tersebut untuk mereka pulang ke kampung mengundi pada PRU-15.