BANGI, Isnin – Perletakkan ramai calon Melayu dalam DAP didakwa hanya sebagai boneka untuk menampakkan parti itu sebuah parti majmuk pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, langkah tersebut hanyalah sebahagian taktik DAP dalam cubaan untuk meraih undi.
“Tindakan DAP meletakkan ramai calon Melayu pada PRU-15 kali ini hanyalah sebagai boneka bagi menunjukkan parti itu bersifat majmuk dan itu adalah sebahagian strategi dan taktik DAP untuk meraih undi Melayu. Hakikatnya DAP tahu ada antara calon itu tidak ada potensi untuk menang.” – Datuk Seri Mahdzir Khalid, Naib Presiden UMNO
Menurut beliau, tindakan tersebut merupakan perancangan DAP bagi memaparkan imej mereka yang berbilang kaum serta calon tersebut hanya diletakkan di kerusi yang sukar dimenangi.
“DAP letak saja Melayu sebagai calon kerana bila ada yang bercakap soal calon Melayu, mereka boleh tunjukkan bahawa mereka letakkan peratusan calon Melayu lebih tinggi kali ini. Maka mereka bolehlah kata kepada umum bahawa parti itu memang sudah meletakkan orang Melayu sebagai calon tetapi tak dapat buat apa-apa kerana calon tersebut kalah.”- Datuk Seri Mahdzir Khalid, Naib Presiden UMNO
Tambahnya, calon Melayu DAP hanya ditempatkan bagi menunjukkan peratusan calon Melayu yang lebih tinggi tetapi hakikatnya calon tersebut tidak mempunyai potensi untuk menang.
Sehubungan itu, katanya walaupun calon Melayu kalah, DAP tetap telah menggambarkan kedudukan sama rata kepada semua kaum dalam parti politik itu.
Mahdzir berkata demikian selepas merasmikan Himpunan Anggota Kumpulan Pelaksana dan Pesara Kumpulan Pelaksana Pendidikan Padang Terap dan Ketua-Ketua Pembantu Tadbir Peringkat Negeri Kedah, semalam.
Pada PRU kali ini, DAP bakal menampilkan lebih ramai calon Melayu antaranya Syahredzan Johan di Bangi, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji di Lipis, Sheikh Umar Bagharib Ali di Ayer Hitam serta Young Syefura Othman di Bentong.
Tegas Mahdzir, beliau yakin rakyat negara ini bijak dalam membuat penilaian serta mampu memilih parti yang jujur dan Amanah.