BANGI, Isnin – Tidak salah mahu bergurau tetapi ada sempadannya terutama apabila berada di rumah Allah, apatah lagi cuba melakukan tindakan yang tidak senonoh di luar batasan syarak.
Ketua Wanita BERJASA, Dr Fadilah Ashari berkata masyarakat sewajarnya cakna dengan kejadian kelakuan tidak senonoh yang berlaku dalam sebuah surau di Kuala Langat baru-baru ini susulan ia melibatkan isu seks songsang yang dipromosi masyarakat barat.
“Sebenarnya kita kena cakna sekarang ni isu seks songsang ini dipromosi secara besar-besaran oleh masyarakat barat khususnya dan berselindung di sebalik isu hak asasi manusia maknanya mereka mengatakan terpulang lah pada sesiapa pun nak buat orentasi seks pun kerana ini adalah hak masing-masing.” – Dr Fadilah Ashari / Ketua Wanita BERJASA
Sementara itu, Dr Fadilah menyeru agar ibu bapa, masyarakat dan pemimpin-pemimpin untuk memainkan peranan penting mereka mengatasi masalah terutama apabila melibatkan isu seks songsang dalam generasi muda hari ini.
Orang ramai juga perlu mempunyai kesedaran yang tinggi berkaitan dengan masalah yang berlaku di persekitaran kerana ia akan memberi impak kepada generasi muda untuk kehidupan akan datang.

Ketua Wanita BERJASA, Dr Fadilah Ashari menyeru ibu bapa, pendidik, pemimimpin dan masyarakat untuk bersama-sama menggembleng tenaga mengatasi masalah melibatkan isu seks songsang.
Terdahulu, tular di media sosial satu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang berdurasi satu minit 49 saat menunjukkan tindakan melampau dua lelaki berkelakuan sumbang di dalam sebuah surau di Kuala Langat, Selangor pada Rabu lalu.
Bagaimanapun, pada Sabtu, media melaporkan Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor berkata pelaku yang tular berkelakuan tidak senonoh itu adalah merupakan gurauan antara dua beradik.
Jelasnya, berdasarkan keterangan salah seorang daripada mereka, dia hanya membetulkan seluarnya dan tiada sebarang niat berkelakuan tidak senonoh dalam surau terbabit selain tidak menyedari perbuatan mereka dirakam CCTV.