KUALA LUMPUR, Khamis – Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mencabar Datuk Seri Anwar Ibrahim mengemukakan jumlah sokongan dimiliki bagi mengabsahkan surat akaun bersumpah (SD) yang diperoleh bagi memegang jawatan Perdana Menteri.
Muhyiddin berkata, beliau yakin telah mendapat majoriti mencukupi untuk menjadi Perdana Menteri dengan mendapat sokongan 115 Ahli Parlimen.
“Pada jam 10.30 pagi 22 November 2022, Setiausaha Agung PN menghantar satu lagi surat akuan Ahli Dewan Rakyat yang memberi kepercayaan kepada saya untuk dilantik sebagai Perdana Menteri menjadikan jumlah Ahli Parlimen yang menyokong saya adalah seramai 115 orang.
“Iaitu melebihi majoriti mudah 112 orang untuk membolehkan saya dilantik sebagai Perdana Menteri.
“Hari ini, Istana Negara telah mengeluarkan kenyataan bahawa Anwar yang dikatakan mempunyai sokongan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat akan dilantik sebagai Perdana Menteri.
“Demi keyakinan rakyat akan keabsahsan Anwar sebagai Perdana Menteri, adalah sewajarnya beliau membuktikan bahawa beliau mempunyai sokongan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat,” katanya dalam sidang media petang ini.
Muhyiddin mendakwa dia mendapat sokongan 73 ahli Parlimen PN; GPS (22); BN (10); GRS (6); Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat ataupun (KDN) (1) dan Bebas (2).
Sokongan itu dikemukakan SD dan diserahkan kepada Istana Negara sebanyak dua kali iaitu pada 21 dan 22 November lalu.
Ditanya mengenai dakwaan 10 ahli Parlimen BN menarik sokongan, Muhyiddin kata dia tidak mengetahui mengenai perkara itu tetapi yakin telah mengemukakan jumlah mencukupi untuk menjadi Perdana Menteri.
Terdahulu hari ini, Yang di-Pertuan Agong selepas perbincangan khas dengan Raja-Raja Melayu di Istana Negara, Kuala Lumpur berkenan melantik Anwar sebagai Perdana Menteri Ke-10.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan hari ini berkata, pelantikan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.
Dalam pada it, Muhyiddin ketika ditanya apa tindakannya selepas ini, Ahli Parlimen Pagoh tersebut berkata, dia mengambil pendekatan tunggu dan lihat selain memberi peluang kepada Anwar mengemukakan bukti.