BANGI, Sabtu – Khabar angin yang mendakwa berlaku pergolakan dalam Barisan Nasional (BN) semakin bertiup kencang selepas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob didakwa mengadakan pertemuan tertutup bersama pemimpin Pas di sebuah kelab golf di Petaling Jaya, Selangor semalam.
Selain Ismail Sabri, pemimpin lain yang terlibat dalam pertemuan itu ialah Ketua UMNO Bahagian Ketereh, Annuar Musa; Setiausaha Agung Pas, Takiyuddin Hassan; Presiden MCA, Wee Ka Siong dan bekas Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Tun Faisal Ismail Aziz.
Pertemuan itu menguatkan lagi spekulasi yang Ismail Sabri sedang mengatur langkah untuk membentuk kerajaan bersama Perikatan Nasional yang turut dianggotai Pas.
Tambahan pula, pagi tadi Pengerusi BN yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi kelihatan berada di rumah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar dalam Twitternya berkata, beliau menerima kunjungan Premier Sarawak, Tan Sri Datuk Patinggi Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Abang Haji Openg bersama rombongan.
“Gabungan Parti Sarawak (GPS) menjadi antara tunggak selain Barisan Nasional, Warisan dan GRS yang membentuk Kerajaan Perpaduan yang dikemudi saya.
“Insya-Allah, hubungan di antara Kerajaan Persekutuan dan Sarawak pastinya lebih akrab dan diperkukuh dalam rencana melakar sebuah Malaysia yang lebih baik dan berketerampilan,” katanya.
Mengulas pertemuan tertutup di Kelab Golf Tropicana, Ismail Sabri berkata, beliau hanya menghadiri majlis perpisahan bersama bekas kakitangannya di Jabatan Perdana Menteri (PMO) tetapi terdapat fitnah yang mengatakan bahawa dia bersama Bendahari Agung BN, Hishammuddin Hussein.
“Tak betul (pertemuan tersebut). Mana ada perjumpaan melibatkan 10 orang tu. Tengok senarai nama tu lima orang saja. Ini semua fitnah jahat untuk merosakkan nama saya.
“Hari ni nak jumpa kawan-kawan pun tak boleh. Jumpa kawan PAS (dianggap) jadi pengkhianat, jumpa orang PH jadi hero penyelamat parti. Semua orang dah gila,” katanya.
Sementara itu, Ka Siong turut menafikan dakwaan pertemuan berkenaan dan menjelaskan beliau cuma ke lokasi tersebut untuk menjamu selera dengan rakannya.
“Ini mengarut. Saya sedang menjamu selera (brunch), dimsum bersama dua rakan di restoran, pada jam 10 pagi semalam,” katanya.