BANGI, Sabtu – Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) mendakwa, kerajaan yang ditadbir Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak menggambarkan Kerajaan Perpaduan yang sepatutnya merangkumi semua parti politik.
Sebaliknya Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau Hoi Chai berkata, kerajaan itu dilihat hanya didominasi oleh Pakatan Harapan (PH)
“Pendirian PN seperti yang dikatakan Pengerusi (Tan Sri Muhyiddin Yassin) akan menjadi pembangkang dalam arena politik negara.
“Definisi kerajaan perpaduan adalah yang merangkumi semua parti politik, jelas ini adalah kerajaan PH dan bukan perpaduan. Oleh itulah kita akan memainkan peranan sebagai pembangkang,” katanya pada sidang media Pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) hari ini.
Semalam, PN menegaskan akan menjadi parti pembangkang meskipun dipelawa Anwar untuk menyertai kerajaan perpaduan yang baharu ditubuhkan.
Pas turut senada dengan Muhyiddin apabila menolak untuk menyertai Kerajaan Persekutuan dan terus berperanan sebagai pembangkang yang konstruktif dengan menasihati semua pihak bagi memastikan tadbir urus negara berjalan lancar dan dapat ditegakkan berpaksikan kepada prinsip prihatin, bersih dan stabil.
Kerajaan di bawah pentadbiran Perdana Menteri Ke-10 itu disertai PH, Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Terdahulu, Dominic berkata, sebanyak 34 peratus pengundi kali pertama memilih Gerakan pada PRU15 baru-baru ini dan majoriitnya adalah dalam kalangan orang Melayu.
Beliau menyifatkan situasi berkenaan membuktikan bahawa ideologi PN yang turut dibawa Gerakan semakin diterima rakyat.
“PRU ini kita telah membuktikan rakyat menerima ideologi PN. Rakyat yang menyokong kita menolak rasuah, tidak mahu kleptokrat,” ujarnya.
Dominic beriltizam akan terus memberi penerangan ideologi yang dibawa oleh PN secara meluas termasuk kepada yang bukan Melayu.
“Walaupun ada yang bimbang dalam PN ada Pas, khususnya yang bimbang dalam kalangan bukan Melayu tapi mereka perlu faham dalam PN kita tidak serang agama dan kaum lain. Kita hormat Perlembagaan Persekutuan dan hak rakyat untuk beragama,” tambahnya.