BANGI, Sabtu – UMNO melakukan satu penipuan yang besar kepada orang Melayu selepas bersetuju untuk bersekongkol dengan DAP dalam membentuk kerajaan baharu.
Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad berkata, keputusan UMNO untuk bersama kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang di dalamnya terdapat DAP tidak boleh diterima sama sekali kerana ia satu penipuan yang jelas kepada pengundi khususnya orang Melayu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), 19 November lalu.
Tun Abdul Hamid juga mempersoalkan sokongan majoriti Ahli Parlimen (MP) yang didakwa dimiliki Anwar untuk menjadikannya seorang Perdana Menteri (PM) kerana tidak jelas dinyatakan parti mana satu yang menyokong beliau.
“Bagi saya, bahawa UMNO-BN (Barisan Nasional) berkecuali pun saya kecewa kerana ia sepatutnya bergabung dengan PN untuk menghalang PH berkuasa.
“Bergabung dengan PH tidak boleh diterima langsung. Ia adalah satu penipuan kepada pengundi-pengundi Melayu,” katanya.
“Tidak pula disebut parti-parti yang bersetuju bergabung dengan PH dan berapa orangkah ahli-ahli Dewan Rakyat (DR) yang menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Dengan pelantikan ini tercapailah cita-cita Anwar setelah sekian lama menunggu. Apa yang akan dilakunya selepas ini sama-samalah kita menunggu untuk melihatnya,” katanya lagi.
Tun Abdul Hamid menambah, DAP paling licik dalam memainkan peranan mereka apabila berdiam diri sepanjang rundingan antara UMNO dengan Anwar berjalan untuk memastikan rancangan tersebut berjaya.
“Yang paling licik adalah DAP. Dengan menutup mulut dan tidak menampakkan muka mereka sepanjang kempen PRU15 dan rundingan bergabung selepas PRU15, mereka tidak membangkitkan kecurigaan orang Melayu terhadapnya seperti sebelumnya,” katanya lagi.
Perkara paling tidak boleh diterima sama sekali ialah bagaimana seorang Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi boleh bertindak menipu Yang di-Pertuan Agong semata-mata mahu memastikan cita-cita Anwar menjadi kenyataan.
“Saya tidak faham bagaimana sepuluh orang ahli-ahli Dewan Rakyat UMNO yang pada mulanya membuat SD (akuan berkanun) menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin itu boleh menarik balik SD mereka.
“Takut sangatkah kepada Ahmad Zahid dan dipecat? Saya juga tidak faham bagaimana ahli-ahli MKT (Majlis Kerja Tertinggi UMNO) yang berkali-kali mengundi untuk berkecuali boleh menerima keputuan (siapa?) bahawa UMNO-BN bersetuju menyokong Anwar sebagai PM dan bergabung menubuh kerajaan dengan PH.
“Takut sangatkah mereka kepada Ahmad Zahid? Adakah mereka juga bersekongkol untuk berbohong?” katanya lagi.
Secara peribadi, Tun Abdul Hamid berkata, beliau rasa tertipu dengan pendirian pemimpin UMNO dan mengucapkan selamat tinggal kepada parti utama orang Melayu tersebut kerana berbohong kepada rakyat dan pengundi khususnya orang Melayu itu.
“Biar apa pun, saya berasa tertipu. Saya sudah tidak percaya kepada pemimpin-pemimpin UMNO lagi. Selamat tinggal UMNO,” tegasnya lagi.