BANGI, Isnin – Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi terus mempertikaikan pelantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10.
Abdul Hadi dikatakan menyindir keputusan pihak Istana Negara apabila mengaitkan pelantikan itu dengan masa kecederaan dalam perlawanan bola sepak.
Menggunakan analogi perlawanan bola sepak, Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berkata, cara pelantikan Anwar umpama memberikan masa tambahan bagi membolehkan Pakatan Harapan (PH) mengumpul lebih banyak Ahli Parlimen bagi menyokongnya.
Ketika kerancakan Piala Dunia yang sedang berlangsung, Abdul Hadi mendakwa ketika Tan Sri Muhyiddin Yassin telah menang kerana berjaya melepasi 112 majoriti mudah, PH dan Anwar sebaliknya diberikan masa tambahan untuk mencari sokongan tambahan.
Perkara itu dinyatakannya dalam Twitter beliau @abdulhadiawang semalam dan kenyataan penuhnya disiarkan juga oleh portal berita Pas, Harakahdaily.
“Bagaimana pula kalau pengadil menambah masa bukan kerana faktor kecederaan atau seri tiada keputusan?
“Padahal keputusannya sudah ada kemenangan pada satu pihak, ada mata dan golnya.
“Tiba-tiba pengadilnya menambah masa juga untuk memberikan peluang kepada yang nyata sudah kalah supaya mereka dapat meraih kemenangan juga dengan apa cara sekalipun, yakni masanya dicederakan oleh si pengadil,” katanya.