BANGI, Isnin – Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pernah menolak untuk menggunakan kenderaan kalis peluru yang disediakan kerajaan ketika menjadi Perdana Menteri.
Bekas Pengarah Media dan Komunikasi Strategik beliau, Datuk Ruhaidini Abd Kadir berkata, sepanjang bergelar Perdana Menteri, Ahli Parlimen Bera itu lebih selesa menggunakan kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dipakai pentadbiran terdahulu.
Melalui hantaran di Facebook, beliau memaklumkan, Ismail Sabri juga enggan meluluskan permohonan untuk mengubah suai pesawat khas bagi kegunaan Perdana Menteri, selain terus tinggal di rumah peribadi dan memilih untuk tidak berpindah ke Seri Perdana.
“Di sebalik nama Ismail Sabri. Keputusan YAB Perdana Menteri Ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim menolak untuk menggunakan kenderaan rasmi (import) yang baharu bukan perkara luar biasa.
“Perdana Menteri Ke-9, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob juga pernah menolak untuk menggunakan kenderaan kalis peluru yang disediakan kerajaan untuk beliau. Sepanjang bergelar Perdana Menteri, Ismail Sabri lebih selesa menggunakan kenderaan jenis MPV yang telah digunakan oleh pentadbiran terdahulu.
“Bahkan, Ismail Sabri juga enggan meluluskan permohonan untuk mengubah suai pesawat khas (Perdana 1) bagi kegunaan rasmi Perdana Menteri. Ismail Sabri juga terus tinggal di rumah peribadi dan memilih untuk tidak berpindah ke Seri Perdana, meskipun kediaman rasmi Perdana Menteri telah indah diubahsuai,” katanya.
Malam tadi, Anwar melalui ciapan di Twitternya, memaklumkan menolak menggunakan kereta jenis Mercedes S600 yang dibeli dan diperoleh JPM sebelum beliau memasuki pejabat.
Perdana Menteri berkata, langkah itu diambil kerana beliau tidak mahu sebarang perbelanjaan baharu dibuat oleh kerajaan untuknya.