BANGI, Selasa – DAP sepatutnya sudah meninggalkan Pakatan Harapan (PH) selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Veteran UMNO, Tan Sri Shahrir Samad berkata, semasa PH berkuasa penuh pun mereka tidak berupaya untuk mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).
“Inikan pula masih berharap pengiktirafan itu dibuat apabila PH masih memerlukan sokongan tambahan untuk menubukan kerajaan perpaduan,” katanya dalam satu hantaran Facebook.
Shahrir turut mengingatkan bahawa kerajaan perpaduan ini bukan kepunyaan DAP.
”Entah apa nak cakap lagi!,” kata Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru itu.
Beliau mengeluarkan kenyataan itu bagi mengulas ugutan DAP yang didakwa mencapai kata sepakat untuk meninggalkan kerajaan, jika UEC tidak diiktiraf.
“Kami tidak kisah tidak berada dalam kerajaan, ini prinsip asas, kami akan mendukungnya,” kata Timbalan Setiausaha Agung DAP, Nga Kor Ming melalui sebuah akhbar berbahasa Cina.
Beliau yang juga ketua DAP Perak berkata, menteri daripada parti itu tidak pernah mendiamkan diri, sebaliknya mereka berusaha membangkitkan isu tersebut dan ia tidak diuar-uarkan media.