BANGI, Selasa – Calon Perikatan Nasional (PN) Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Parlimen Padang Serai, Datuk Azman Nasrudin bertindak biadap apabila menggelar kerajaan baharu pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai ‘Kerajaan Zina’.
Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil berkata, kenyataan itu sangat biadap dan tidak sepatutnya dikeluarkan.
Ini kerana pengisytiharan Anwar sebagai Perdana Menteri diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selepas mempengerusikan mesyuarat khas Majlis Raja-Raja Melayu di Istana Negara pada minggu lalu.
Justeru, Fahmi yang juga Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH) menggesa agar Azman disiasat selepas membuat kenyataan itu.
“Azman Nasruddin wajib pulangkan balik pingat Darjah Dato’ Setia Sultan Sallehuddin Kedah (DSSS) dan berhenti daripada menggunakan gelaran Datuk.
“Kenyataan beliau bahawa Kerajaan Perpaduan ini adalah ‘Kerajaan Zina’ satu penghinaan terhadap keputusan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan khususnya Sultan Kedah, Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin yang turut hadir Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu berhubung pelantikan YAB Perdana Menteri.
“Azman juga mesti disiasat di atas ucapan yang sangat kasar dan biadab ini,” katanya menerusi satu kenyataan di Facebook hari ini.
Azman pada Ahad lalu yakin akan ada isyarat jelas penolakan terhadap PH dan Barisan Nasional (BN) susulan pembentukan kerajaan baharu yang disifatkannya sebagai ‘Kerajaan Zina’.
Jelasnya, ‘perkahwinan’ PH dan BN itu tidak direstui sebahagian pimpinan dan ahli pada peringkat akar umbi.