BANGI, Selasa – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad mendedahkan terdapat usaha membeli Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada parti itu selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Menurut beliau, cubaan tersebut dimaklumkan sendiri oleh wakil rakyat BN apabila terdapat individu yang menjadi ‘ejen’ untuk menarik sekurang-kurangnya empat ADUN BN.
“Saya dimaklumkan bahawa sudah ada ‘ejen’ yang menghubungi ADUN BN supaya tinggalkan parti dan menyertai mereka seperti mana yang berlaku pada PRU14.
“Perkara itu (cubaan curi ADUN BN) melukakan hati saya. Itu bukan cara yang betul (kerana) itu tikam belakang.
“Saya terus buat keputusan menghubungi pihak istana, malah saya mendapat persetujuan daripada lapan ADUN BN, maka saya menghadap Sultan Perak, sembilan daripada BN dan 24 daripada Pakatan Harapan (PH) kita cukup kerusi bentuk kerajaan negeri,” katanya dalam wawancara bertajuk Situasi Semasa Politik di Negeri Perak anjuran BN Perak.
Saarani menjelaskan bahawa pemilihan untuk membentuk kerajaan bersama PH bukanlah suatu pengkhianatan sebaliknya demi kestabilan politik dan negeri dapat ditadbir dengan baik.
“Tidak timbul masalah mengkhianati parti atau masalah meninggalkan perjuangan, tidak timbul masalah hilang prinsip.
“Saya reda orang mengata tetapi saya yakin saya buat keputusan betul demi Allah baik untuk agama dan bangsa,” katanya.
Menteri Besar Perak itu turut memberi jaminan bahawa beliau tidak akan mengikut telunjuk mana-mana pihak.
“Saya berjanji sekiranya ada pihak terus mengasak dan meminta saya ikut telunjuk mereka, saya tidak teragak-agak menarik keluar sembilan orang dari kerajaan negeri, kita tidak perlu akur,” katanya.
Pada PRU14 yang lalu, Pakatan Harapan (PH) memperoleh 29 kerusi DUN diikuti BN sebanyak 27 kerusi dan Pas menang tiga kerusi.
Bagaimana pun tindakan oleh dua ADUN dari BN iaitu Datuk Zainol Fadzi Paharudin dan Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi yang mengumumkan sokongan terhadap PH membolehkan parti berkenaan membentuk kerajaan.