BANGI, Rabu – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi mendakwa, Tokoh Wartawan Negara, Datuk A Kadir Jasin mempunyai agenda menghalang Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menjadi Timbalan Perdana Menteri (TPM).
Jadi, tidak hairanlah apabila beliau memainkan isu ‘bunuh diri’ atau ‘harakiri’ sekiranya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memilih Ahmad Zahid sebagai TPM.
Mohd Puad berkata, Kadir meneruskan konspirasi tertinggi tajaan Mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk membunuh UMNO.
“Kenapa apabila Anwar dan Pakatan Harapan (PH) terima sokongan UMNO yang dimomokkan ada kluster mahkamah tidak dianggap bunuh diri?
“Sepatutnya dari awal lagi penyokong PH akan menolak. Apabila Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu memperkenankannya, ia bermakna maslahah bernegara lebih utama daripada ‘persepsi’.
“Persepsi Kluster Mahkamah adalah konspirasi tertinggi tajaan Tun M untuk bunuh UMNO. Pertuduhan selektif dan puluhan pertuduhan bertujuan membina persepsi buruk kepada UMNO.
“Tun M boleh lakukan apa sahaja. Dia suruh Tun Daim Zainuddin jumpa Anwar di Penjara Sungai Buloh supaya Anwar berpakat dengan Tun M. Anwar dijanjikan jawatan Perdana Menteri.
“Perbincangan sulit itu didedahkan sendiri oleh Tun Daim dalam program Soal Rakyat TV3 pada 5 September 2018. Anwar tidak dapat juga jadi PM. Siapa bunuh siapa sebenarnya?,” soalnya dalam satu hantaran Facebook.
Mohd Fuad menambah, tujuan utama Kadir membangkitkan isu itu adalah untuk memastikan kerajaan baharu yang dipimpin Anwar tidak stabil.
Beliau juga mendakwa, Kadir meneruskan misi Tun M yang mahu melihat UMNO berkubur selepas beliau hilang deposit setelah tewas di Parlimen Langkawi pada Pilihan Raya Umum ke-15 lalu.
“Sebab itu melantik Ahmad Zahid akan mengukuhkan lagi kerajaan baharu ini hingga tamat tempoh. Ahmad Zahid komited kepada kerajaan ini. Dia kunci utama.
“Menolak Ahmad Zahid akan mengancam kestabilan UMNO. 130 Ketua Bahagian bantah beliau letak jawatan. Itu ‘signal’ penting. Anwar perlu kerajaan stabil untuk membawa perubahan.
“Anwar perlu diberi peluang sehingga cukup penggal untuk mentadbir. Cukup lima tahun, beri balik mandat kepada rakyat untuk memilih. Tiada Langkah Sheraton atau tebuk atap. Jalan terus,” katanya.
Semalam, Kadir menerusi satu hantaran Facebooknya mendedahkan, Anwar dianggap mengambil langkah ‘harakiri’ jika memilih Ahmad Zahid sebagai TPM atau memberikan sebarang jawatan dalam kerajaan.
Katanya, jika Anwar mengambil langkah itu ia hanya akan memberikan imej buruk kepada kerajaan ketika ia mula mendapat sokongan lebih ramai pihak.