BANGI, Rabu – Majlis Raja-Raja hari ini menggesa agar pelantikan lima ahli Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (SPK) tidak dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dalam perutusan Pengerusi Mesyuarat Raja-Raja, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Mukhriz Almarhum Tuanku Munawir bertitah, proses pelantikan hakim di Malaysia pada masa ini mempunyai kelemahan dan boleh diperbaiki.
“Untuk memastikan SPK bebas dalam melaksanakan tanggungjawab, Beta mencadangkan agar pelantikan lima ahli SPK tidak dibuat oleh Perdana Menteri.
“Sebaliknya ia diberikan kepada beberapa institusi lain seperti Majlis Peguam Malaysia, Persatuan Undang-undang Sana, Persatu Peguambela Sarawak dan Jawatankuasa Pemilih Parlimen.
“Dengan kaedah ini, keanggotaan SPK akan lebih seimbang dan tidak membawa kepentingan mana-mana pihak,” titah Tuanku Mukhriz selepas Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-260 yang berakhir hari ini.
Jelas Tuanku Mukhriz, SPK memainkan peranan utama dalam mengemukakan cadangan pelantikan hakim.
Titah baginda, keanggotaan SPK adalah kritikal untuk memastikan JAC terus berkemampuan mengemukakan nama-nama hakim yang berintegriti dan berkaliber.
“Beta juga mencadangkan supaya struktur SPK turut dinilai semula dengan rundingan dibuat antara kerajaan, ahli SPK sedia ada dan badan-badan guaman serta institusi lain yang relevan.
“Beta yakin SPK akan mampu menjalankan tanggungjawabnya dengan lebih berkesan dan menjadikan pemilihan serta pelantikan hakim-hakim di Malaysia adalah di kalangan individu yang berkeperubadian mulia, telus dan adil,” titah baginda.
Untuk rekod, SPK mempunyai sembilan anggota yang mana empat daripadanya adalah hakim yang sedang memegang jawatan terkanan manakala lima lagi merupakan lantikan daripada Perdana Menteri.