BANGI, Rabu – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan bahawa kasut Louis Vuitton (LV) yang dipakainya ketika bertemu Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah baru-baru ini adalah hadiah daripada Sultan Johor.
Dalam ciapan di Twitter beliau lewat malam tadi, Anwar berkata, beliau menerima hadiah itu dua tahun lalu.
Anwar memberi penjelasan itu kepada pengguna Twitter @NaratifRakyat yang menyorot bahawa walaupun Anwar enggan menggunakan kereta Mercedez Benz S600 kerajaan, dia memakai sepasang LV Major Loafers yang berharga RM5,500.
“Ia pemberian Tuanku Sultan Johor dua tahun yang lalu. Saudara nak persoal saya tidak mengapa, tapi jangan bawa naratif fitnah,” tulis Anwar.
Pakaian Anwar turut menjadi tumpuan sebelum ini selepas dia memakai baju Melayu dan sepasang capal yang dibuat di Kepala Batas, Pulau Pinang pada hari pertama dia hadir di pejabat, Jumaat lalu.
Anwar sebelum ini mendedahkan, beliau menolak untuk menggunakan kereta Mercedez Benz S600 yang dibeli oleh pentadbiran terdahulu dan dilaporkan menelan kos lebih RM1 juta sebagai langkah untuk membudayakan penjimatan kerajaan.
Fesyen pakaian Mantan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob juga sering menjadi bualan netizen sebelum ini terutama baju jenama mewah Burberry yang sering dipakainya.