BANGI, Rabu – Berjasa menggesa kerajaan agar kekal dengan pendirian tidak mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) kerana ia bertentangan dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan dan Akta Pendidikan 1996 (Akta 550).
Ketua Wanita Berjasa, Dr. Fadilah Ashari berkata, UEC yang dilaksanakan di Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) menggunakan kurikulum yang berasal dari luar negara serta dibangunkan Dong Zong selain menggunakan bahasa Cina sebagai bahasa pengantar utama.
“Malaysia mempunyai Dasar Pendidikan Kebangsaan yang memperuntukkan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama serta melaksanakan kurikulum kebangsaan dan menyediakan murid untuk menduduki peperiksaan yang sama.
“Ini merupakan suatu yang terbukti sejak merdeka, berjaya memupuk perpaduan kaum dan masyarakat saling hormat menghormati,” katanya dalam satu hantaran Facebook hari ini.
Bagaimanapun, desakan untuk pengiktirafan UEC adalah sesuatu yang sangat merbahaya kepada negara kerana keamanan serta kedaulatan Malaysia boleh tergugat.
Ini kerana apabila sistem pendidikan yang diambil dari negara luar atau digubal khusus untuk sesuatu kaum, boleh melahirkan rakyat yang ketaatan serta kecintaan mereka kepada Malaysia, berbelah bahagi.
Dr. Fadilah berkata, Berjasa menyeru kerajaan agar komited dan terus menambah baik sistem pendidikan negara mengikut Dasar Pendidikan Kebangsaan.
“Ia bagi melahirkan rakyat yang bersatu padu serta saling bekerjasama ke arah membawa Malaysia ke mercu kemajuan.