BANGI, Khamis – “Kita sebenarnya belajar daripada siapa?”
Itu antara persoalan yang dilontarkan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang ketika berbicara tentang ahli-ahli politik di negara ini.
Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu juga berkata, rakyat perlu menolak jenis pemimpin yang ‘kelabu mata’ apabila ditawarkan sesuatu jawatan penting.
“Apabila pemimpin Musyrikin Makkah menawarkan jawatan raja, harta kekayaan dan wanita kepada Nabi Muhammad SAW semasa fasa Makkiyyah, asalkan Nabi meninggalkan dakwah Islamiah, Baginda dengan tegas menolak tawaran tersebut.
“Walhal boleh saja Nabi menerima tawaran tersebut kerana dengan kuasalah Baginda mampu melakukan apa-apa sahaja.
“Namun, Nabi menolak kerana Islam tidak dapat memimpin dan perlu menuruti kehendak orang kafir Quraisy.
“Selepas berhijrah ke Madinah, barulah Rasulullah menjadi pemimpin Madinah kerana Islam sudah boleh memimpin dan menyatupadukan seluruh masyarakat majmuk di sana. Inilah petunjuk Sirah Nabawiyyah yang patut kita teladani.
“Malangnya hari ini, apabila ditawarkan jawatan Perdana Menteri, Menteri Besar, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) dan sebagainya, terus kelabu mata untuk menerimanya dan sanggup menggadaikan prinsip,” katanya dalam satu hantaran Facebook.
Abdul Hadi menambah, rakyat yang melihat dan memahami tentang perkara itu mesti menolak jenis pemimpin seperti ini.
Sebaliknya, beliau yang berucap pada ceramah umum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman di Rompin, Pahang menyeru rakyat sama-sama mendukung Perikatan Nasional (PN) untuk melakukan perubahan dan membina kepimpinan negara secara istiqamah berdasarkan petunjuk Allah SWT.