BANGI, Jumaat – Negara memerlukan sebuah kerajaan yang kukuh, stabil dan dapat melaksanakan fungsi dengan berkesan dan membuat serta melaksana dasar dan undang-undang negara dengan menepati prinsip-prinsip Perlembagaan dan Rukun Negara.
Pakar Perlembagaan, Profesor Madya Datuk Dr Shamrahayu Ab Aziz berkata, proses lantikan Jemaah Menteri oleh Yang di-Pertuan Agong perlu memenuhi tiga syarat yang ternyata dalam peruntukan Perlembagaan.
Prof Datuk Dr Shamrahayu Abd Aziz / Pakar Perlembagaan
“Pertama, baginda hendaklah memilih salah seorang ahli Dewan Rakyat; kedua, Yang di-Pertuan Agong hendaklah membuat keputusan bahawa seseorang yang dilantik itu mungkin mempunyai kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat,” – Pakar Perlembagaan
Menurut beliau, syarat pertama bagi proses pelantikan Jemaah Menteri, Yang di-Pertuan Agong hendaklah memilih salah seorang ahli Dewan Rakyat.
Manakala, syarat kedua Al Sultan Abdullah perlu membuat keputusan bahawa sesorang yang dilantik itu mempunyai kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.
Beliau melalui laman sosial Facebook rasminya berkata bahawa hal tersebut dinyatakan mengikut Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.
Tambahnya, menurut Perkara 43(7) orang yang hendak dilantik sebagai Perdana Menteri itu bukan seseorang yang menjadi warganegara melalui penaturalisasian atau melalui pendaftaran di bawah Perkara 17.
Mengulas lanjut, kata Prof Sham, Al Sultan Abdullah melantik Perdana Menteri dengan menggunakan kuasa budi baginda yang dinyatakan dalam Perkara 40(2)(a) Perlembagaan Persekutuan .
Sementara itu, jelas beliau lagi baginda perlu melantik para Menteri atas nasihat Perdana Menteri menurut peruntukan umum di bawah perkara 40(1) dan (1).
Bagi sudut kelayakan jemaah menteri, satu syarat wajib ialah, menteri hendaklah seorang ahli Parlimen, sama ada ahli Dewan Rakyat atau Dewan Negara.
Malah menteri juga tidak semestinya seseorang yang menang dalam Pilihan Raya Umum dan boleh dilantik sebagai senator.
Dalam perkembangan lain, pembentukan barisan Kabinet dijangka diumumkan selewat-lewatnya hari ini bagi membolehkan Jemaah Menteri Kabinet baharu mengangkat sumpah sebelum hujung minggu ini.