BANGI, Sabtu – PAS menyatakan keterbukaan untuk menggantikan parti keramat iaitu UMNO dalam membawa suara orang Melayu Islam di Parlimen.
Menurut PAS, ini kerana mereka sangat berpengalaman, konsisten bahkan lebih baik dalam menjaga agama Islam dan bangsa Melayu berbanding UMNO.
“Kerana apa yang dicari di dalam UMNO, boleh ditemui di dalam PAS. Namun, apa yang ada di dalam PAS belum tentu ada di dalam UMNO. Dalam bab pengalaman, kedua-duanya merupakan parti tertua dan terbesar di Malaysia. Sebagaimana UMNO, PAS sangat berpengalaman, konsisten bahkan lebih baik dalam menjaga agama Islam dan bangsa Melayu,” kata PAS menerusi kenyataan di Facebook rasmi pada Sabtu.

PAS memuat naik poster di laman Facebook rasminya menyatakan ketersediaan menggantikan UMNO
Jelasnya, walaupun kedua-duanya merupakan parti tertua dan terbesar di Malaysia, namun ada perbezaannya.
“UMNO memperjuangkan bangsa, PAS memperjuangkan agama yang dengannya terpelihara semua bangsa. Pemimpin UMNO terpalit dengan pelbagai kes rasuah dan salah laku manakala pemimpin PAS kekal bersih dan istiqamah berpegang kepada prinsip. Pendirian UMNO sekarang untuk bersama DAP-PH demi peribadi dan kuasa menambahkan lagi jurang perbezaan.”
Jelasnya lagi, UMNO mulai lemah dan berpecah apabila PAS melalui Perikatan Nasional meraih sokongan majoriti orang Melayu dalam PRU-15.
“Orang UMNO jangan risau, PAS terbuka untuk menerima ahli daripada mana-mana parti yang sudi bersama PAS membawa suara orang Melayu Islam di parlimen. PAS sedia memikul tanggungjawab ini.”
Justeru, PAS terbuka untuk menerima ahli dari mana-mana parti untuk bersama membawa suara orang Melayu Islam di Parlimen.