BANGI, Sabtu – Datuk Seri Anwar Ibrahim didakwa tersepit untuk mengekalkan kuasa dan nyawanya kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menyebabkan imej berintegriti dan bebas rasuah oleh Pakatan Harapan (PH) tercalar.
Jurucakap Gagasan Bangsa, (GB) Aminuddin Yahaya berkata, sekaligus pengumuman barisan Kabinet dalam kerajaan baharu yang diterajui Perdana Menteri, mendapat pelbagai reaksi susulan meletakkan Ahmad Zahid yang merupakan “kluster Mahkamah” sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Jurucakap Gagasan Bangsa (GB), Aminuddin Yahaya berkata tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melantik Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri menjadi satu penipuan atau scam politik yang terbesar dalam sejarah negara.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan senarai jemaah menteri Kabinet Anwar Ibrahim menjadi satu bentuk penipuan kepada politik Malaysia dan dalam masa yang sama boleh menjadikan keadaan kerajaan yang terumbang-ambing untuk memacu pentadbiran negara.
Aminuddin berkata berkemungkinan besar selepas ini juga ramai yang menjangkakan kes kluster mahkamah akan disucikan susulan tindakan Anwar sebelum ini hanyalah lakonan semata-mata selain rakyat sebagai penonton bersorak untuk menghiburkan diri sendiri.
“Anwar dan PH tidak lagi layak bercakap (atau menyanyi) mengenai integriti dan ‘good governance’. Malah, ramai penyokong mereka pun difahamkan sudah ‘pening’ nak ‘back-up’ apa. Barangkali sebab itulah apabila PM guna istilah yang di luar kebiasaan seperti ‘cerakin’ dalam ucapan pun boleh jadi ‘pencapaian’ yang dibangga-banggakan.” – Aminuddin Yahaya / Jurucakap Gagasan Bangsa (GB)
Aminuddin berkata demikian menerusi kenyataan yang dimuatnaik dalam Facebook rasminya hari ini.
Semalam, Anwar mengumumkan senarai 28 menteri Kabinet yang menganggotai kerajaan baharu diterajuinya di Perdana Putra, Putrajaya.
Selain jawatan Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid turut memegang portfolio sebagai Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah sementara wakil Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Seri Fadilah Yusof juga dipilih sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Perladangan dan Komoditi.
Anwar berkata beliau juga memegang portfolio Menteri Kewangan manakala urusan kerajaan khususnya Kementerian Kewangan akan dibantu oleh beberapa penasihat termasuk Bekas Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Tan Sri Mohd Hassan Marican.
Selain itu, Aminuddin berkata harapan rakyat untuk melihat perubahan selepas kemenangan PH pada Pilihanraya Umum Ke-15 (PRU15) yang lalu akhirnya berkecai berikutan parti yang berjuang berpuluh-puluh tahun untuk banteras korupsi turut menjulang tinggi pemimpin korup.