BANGI, Jumaat – Takziah kepada UMNO kerana tewas di tangan DAP.
Demikian kenyataan oleh PAS susulan parti itu bersetuju untuk bergabung dengan Pakatan Harapan (PH) bagi membentuk kerajaan baharu selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
“Kini penyokong akar umbi UMNO terpaksa patuh, jangan diusik DAP lagi. Ahli UMNO juga perlu belajar untuk terima bahawa komunis adalah pahlawan negara seperti yang dilaungkan oleh pemimpin-pemimpin DAP.
“UMNO yang dahulunya memperjuangkan kemerdekaan kini terpaksa membantu DAP untuk menulis semula sejarah kemerdekaan negara ini.
“Tahniah DAP. Takziah UMNO,” kata kenyataan itu di Facebook rasmi PAS pada Jumaat.
Dakwanya, UMNO tewas dengan tawaran-tawaran jawatan dari parti itu.
“Pilihan telah dibuat, jawatan telah ditawarkan, suka atau tidak, UMNO perlu menerima dan memenuhi kehendak DAP,” katanya sambil mendakwa pemimpin Umno yang bersuara menentang kerjasama dengan DAP telah diketepikan.
Baru-baru ini, PAS terus mengeluarkan kenyataan berkaitan DAP selepas Perdana Menteri dilantik.
Minggu lalu, Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang mendakwa DAP mempromosikan Islamofobia.
Ahli parlimen PAS Baling Hassan Saad pula mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar adalah ejen Israel, yang menyebabkan polis menyiasatnya atas tuduhan fitnah.