BANGI, Sabtu – Seramai 27 menteri selesai mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah petang tadi.
Kesemua jemaah menteri dipecahkan kepada enam kumpulan dalam Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia yang berlangsung selama sejam.

Majlis Istiadat Angkat Sumpah Jemaah Menteri di Istana Negara (Sumber: Bernama)
Istiadat angkat sumpah dimulakan dengan Ahli Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah
Istiadat tersebut turut disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ditemani isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.
Selesai istiadat mengangkat sumpah antara yang dilihat meninggalkan Istana Negara ialah Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali, Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.
Selain itu, Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg dan Yang Dipertuan Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim turut dilihat meninggalkan Istana Negara kira-kira jam 5.45 petang tadi.
Beberapa kenderaan menteri lain pula menyusul, antaranya Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub yang sempat melambai kepada media yang berada di luar istana.
Selain itu, Menteri Pendidikan, Dr Fadhlina Sidek dilihat meninggalkan Istana Negara pada jam 5.50 petang disusuli beberapa menteri lain dan juga Menteri Ekonomi, Mohd Rafizi Ramli pada jam 6.00 petang.
Pergerakan pulang semua menteri difahamkan selesai pada jam 6.05 petang.