BANGI, Ahad – Tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyandang jawatan Menteri Kewangan dianggap satu tindakan yang amat terkebelakang dalam sudut tadbir urus sebuah negara.
Naib Presiden BERSATU, Datuk Radzi Jidin berkata, apabila Perdana Menteri menjadi Menteri Kewangan, maka tiada lagi fungsi semak dan imbang.

Datuk Dr. Radzi Jidin / Naib Presiden BERSATU
“Di bawah Janji 12 dalam Manifesto Pakatan Harapan bagi PRU14, disebut bahawa Perdana Menteri tidak akan memegang jawatan Menteri lain, terutamanya Menteri Kewangan,” – Naib Presiden BERSATU
Beliau melalui laman Facebook rasminya menyatakan bahawa Pakatan Harapan (PH) menyebut bahawa PM tidak akan memegang jawatan menteri lain terutamanya Menteri Kewangan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Tambahnya, Pemimpin PH sendiri dengan sedar tidak bersetuju pelantikan Perdana Menteri sebagai Menteri Kewangan.
Susulan itu, rakyat Malaysia yang memahami tentang tadbir urus negara tentunya tidak bersetuju.
Radzi juga menjelaskan perkara paling asas dalam sesebuah negara adalah untuk mempunyai satu sistem tadbir urus yang mantap dan kukuh bagi melindungi dan memastikan wang kerajaan digunakan secara keseluruhannya dengan cekap.
Mengulas lanjut, pada 16 September 2015, Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli pernah menulis di Facebook bahawa beliau memfailkan satu Rang Undang-undang Persendirian untuk menggubal satu akta menghalang seorang Perdana Menteri daripada melantik dirinya sebagai Menteri Kewangan.
Menurutnya, Perdana Menteri terakhir yang menjadi Menteri Kewangan ialah Datuk Seri Najib Tun Razak, malah Perdana Menteri selepas itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob juga tidak memegang portfolio Menteri Kewangan.