BANGI, Isnin – Timbalan Presiden Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Abdul Hadi Awang mengesahkan gabungan parti berkenaan sudah melantik Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat.
Bagaimanapun, Presiden Pas itu tidak memaklumkan siapa individu yang telah dilantik dan meminta menunggu kenyataan rasmi daripada PN.
Jelasnya kenyataan rasmi berkenaan siapa ketua pembangkang tersebut akan dikeluarkan dalam masa terdekat.
“Itu akan dibuat kenyataan. Kita sudah lantik dan PN akan buat kenyataan dalam masa terdekat,” jawabnya ringkas selepas selesai memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul hari ini.
Semalam, media melaporkan Naib Ketua Wanita Bersatu, Mas Ermieyati Samsudin memaklumkan PN masih belum memutuskan siapa yang akan dipilih mewakili gabungan itu sebagai ketua pembangkang.
Namun, beliau menjangkakan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin bakal dipilih sebagai Ketua Pembangkang.
Terdahulu, Pemuda Amanah Terengganu mencadangkan agar Abdul Hadi dilantik sebagai ketua pembangkang bertaraf menteri.
Ketuanya, Zamir Ghazali berkata, perkara itu dilihat wajar memandangkan Pas memenangi kerusi Parlimen paling banyak pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU 15).
Sementara itu, ditanya mengenai kenyataan Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim yang mendakwa terdapat usaha memastikan PN menjadi kerajaan, Abdul Hadi berkata, ia adalah untuk PRU akan datang.
“Sekurang-kurangnya untuk PRU akan datang kerana pengaruh yang kita ada sekarang kita akan lonjakkan lagi.
“Kita juga akan lihat pada perkembangan selanjutnya apakah tindakan kerajaan dan kita tunggu apa reaksi rakyat terhadao kerajaan hari ini,” katanya.
Mengulas lanjut, Hadi berkata, beliau sedia diheret ke mahkamah selepas disiasat polis kerana didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah terhadap Pakatan Harapan (PH).
“Saya memberi kerjasama yang sepenuhnya kepada polis dan bersedia untuk tindakan selanjutnya, sama ada ke mahkamah atau sebagainya.
“Ini ‘giliran’ sayalah (disiasat) dan saya nampak kerajaan baru ini, sangat proaktif,” katanya.