BANGI, Selasa – Satu peraturan atau akta yang terpakai kepada individu atau orang politik yang menjadi pentadbir perlu diperkenal bagi mendisiplinkan diri mereka yang terpalit dengan dakwaan kes jenayah, termasuk rasuah.
Bekas Ketua Polis Negara berkata peraturan itu perlu kerana penjawat awam juga terikat dengan tindakan berat sekiranya melakukan sebarang perbuatan jenayah dan didakwa di mahkamah sehinggakan mereka boleh dilarang menjalankan tugas sehingga kes mereka selesai diadili.
Kata beliau secara amalannya mana-mana penjawat awam yang berhadapan dengan masalah disiplin atau jenayah serta rasuah harus digantung tugas bagi menjaga disiplin, integriti dan nama baik agensi kerajaan yang diwakilinya.
Tan Sri Musa berkata perkara itu tertakluk di bawah perintah Am penjawat awam.
Tan Sri Musa Hassan / Bekas Ketua Polis Negara
“Seseorang penjawat awam jika dia disiasat kerana terlibat dalam satu kesalahan sama ada jenayah atau apa-apa tohmahan, maka dia boleh digantung kerja mengikut Perintah Am berkaitan dengan tatatertib dan juga kelakuan penjawat awam, di mana mereka akan digantung kerja dan diberi separuh gaji dan tidak boleh bertugas tapi mereka kena lapor diri di pejabat tersebut di masa-masa tertentu yang telah diaturkan oleh ketua jabatan,”- Tan Sri Musa Hassan / Bekas Ketua Polis Negara
Beliau ketika dihubungi TV Pertiwi turut menjelaskan dalam bidang kepolisian, pegawai dan anggota juga terikat dengan Akta Polis 1967, yang mana ia mempunyai peraturan ketat yang mana mereka akan dikenakan dengan tindakan disiplin sekiranya didapati bersalah termasuk kes rasuah.
Tambahnya, sekiranya ia melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), mereka akan berhadapan tindakan lebih ketat dan tindakan itu sewajarnya diambil kerana ia dapat mencemarkan integriti badan beruniform.
Mengulas berkenaan hal itu, bekas Ketua Polis Negara turut menegaskan ahli politik perlu mempunyai disiplin diri malah mereka yang terpalit isu ini perlu diperintahkan tindakan sama seperti penjawat awam.
Jelasnya, orang politik menganggap dirinya bukan penjawat awam bahkan menganggap diri mereka sebagai pentadbir politik, maka mereka tidak terikat dengan disiplin dan akta penjawat awam.
Musa Hassan juga mencadangkan ahli politik perlu ada disiplin sendiri dan perlu diadakan akta sendiri jika terlibat perkara melibatkan tatatertib dan boleh diperintahkan sama dengan penjawat awam.
“Orang politik ni dia menganggap dirinya bukan penjawat awam, dia menganggap diri dia sebagai administration atau political administrator, jadi dia tidak terikat dengan disiplin dan akta penjawat awam. Saya cadangkan dia patut ada disiplin sendiri, kena ada akta sendiri kalau orang politik terlibat dengan perkara macam ini mereka juga boleh diperintahkan sama seperti penjawat awam,” – Tan Sri Musa Hassan / Bekas Ketua Polis Negara
Untuk rekod, berdasarkan situasi semasa pentadbiran negara, masih ada ahli kabinet yang terpalit dakwaan kes rasuah seperti yang dilalui Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.