BANGI, Rabu – Sebuah papan tanda yang memperagakan wanita memakai bengkung seolah-olah kelihatan tidak berpakaian di tempat awam menimbulkan rasa kurang senang orang ramai terutama di kawasan berdekatan.
Sehubungan itu, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Cawangan Bangi menghantar surat bantahan secara aman kepada wakil pemilik premis terbabit menyatakan rasa tidak setuju dengan apa yang dipaparkan premis berkenaan meskipun bertujuan promosi.
Yang Dipertua ISMA Bangi, Ustaz Bilal Jailani menghantar surat bantahan kepada wakil premis berkenaan untuk disampaikan kepada pengurusan bagi menghentikan imej papan tanda yang mencolok mata.
Jelasnya, tidak salah untuk mempromosi produk yang ingin dijual tetapi perlu ada garis panduan dan tidak menjadikan wanita sebagai model yang menjatuhkan martabat mereka sedangkan Islam mengangkat golongan wanita ke darjat yang mulia.
Sepanjang 30 tahun kita tinggal di Bandar Baru Bangi ini kita tidak pernah melihat iklan seteruk ini iaitu pakai satu bengkung di dadanya warna lain dan perutnya warna sama sekan kulit. Kalau nampak dari jauh seolah pakai bikini sahaja. Selain itu Bangi Central ini terkenal dengan syurga tudung punyalah baik nama tersebut tetapi tiba-tiba ada imej taksopan seperti ini kerana mencemarkan imej wanita, kedua mempromosikan soft-pornografi dan yang ketiga melanggar kesopanan warga bangi. Kami atas kesedaran tanggungjawab sosial menghantar surat bantahan kepada pihak Jovian Outlet Seksyen 9, Bandar Baru Bangi.
-Ustaz Bilal Jailani / Yang Dipertua ISMA Bangi

Yang Dipertua ISMA Bangi, Ustaz Bilal Jailani (kiri) menunjukkan surat bantahan yang dihantar kepada pemilik premis terbabit.
Lebih menyedihkan papan tanda yang terpampang berdekatan dengan Pejabat Khidmat Adun Sungai Ramal dan hanya 600 meter dari Masjid ikonik Bandar Baru Bangi iaitu Masjid Hasanah.
Sehubungan itu pihaknya menggesa supaya papan tanda itu segera diturunkan supaya tidak menimbulkan persepsi yang lebih buruk nak kemarahan orang ramai.
Pihak Jovian perlu segera menurunkan papan tanda yang tidak sopan ini dan cadagan kami adalah pihak Jovian hanya menggunakan imej wanita berbengkuk ini di dalam premis sahaja di kawasan yang hanya boleh diakses oleh pelanggan wanita sahaja. Itulah penyelesaian yang kita tawarkan. -Ustaz Bilal Jailani / Yang Dipertua ISMA Bangi
Tambah Ustaz Bilal, pihaknya turut membuat tinjauan ringkas berkenaan papan tanda berkenaan di Facebook Bandar Baru Bangi Community (BBBC) seramai 108 ribu dan hasilnya 300 warganet menyatakan tidak setuju terhadap papan tanda berkenaan.
Dalam pada itu, orang ramai yang berada di kawasan berkenaan turut merasakan kurang senang dengan papan tanda memaparkan imej wanita memakai bengkuk apatah lagi yang bertudung dianggap tidak patut.
Berikutan itu pemilik premis yang menayangkan imej wanita memakai bengkung seolah-olah kelihatan tidak berpakaian di tempat awam bersetuju untuk menurunkan papan tanda itu.
Menurut maklum balas yang diberikan kepada pemilik premis berkenaan, pihaknya bersetuju menurunkan dan menukar papan tanda yang mencolok mata itu dalam tempoh 14 hari.
Selain itu, pihak premis terbabit turut memohon maaf atas tindakan mereka yang tidak disengajakan telah mencetuskan isu yang kurang baik di kawasan sekitar.