BANGI, Ahad – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gurun di Kedah, Datuk Johari Abdul mengumumkan meletak jawatan sebagai ADUN pada hari ini (Ahad).
Datuk Johari Abdul dalam satu kenyataan di laman sosial Facebook rasminya mengesahkan beliau telah mengutuskan sepucuk surat kepada Speaker DUN Kedah, Datuk Juhari Bulat bagi tujuan itu yang maa surat itu telah sah diterima bertarikh 13 Disember 2022.
Pengumumanan beliau itu menjadikan spekulasi dirinya tercalon sebagai Speaker Parlimen semakin menjadi kenyataan.
“Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Datuk Speaker yang telah memberi ruang kepada saya untuk mengambil bahagian secara aktif dalam DUN Kedah. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih tidak terhingga kepada seluruh rakyat Gurun dan pengundi-pengundi saya di sana.”
“Tuan-tuan dan puan-puan telah pun memberikan kerjasama dan kepercayaan luar biasa terhadap saya dalam menjalankan tugasan sebagai ADUN Gurun. Insya-ALLAH kita akan berjumpa lagi dan saya yakin hubungan baik kita akan berkekalan dalam membangunkan negeri Kedah.”
Beliau dalam satu kenyataan
video melalui aplikasi Whatsapp turut mengucapkan terima kasih kepada penyokong yang memberikan kerjasama dan kepercayaan luar biasa terhadap beliau dalam menjalankan tugas sebagai ADUN Gurun.
Nama Johari Abdul adalah antara nama yang disebut-sebut bakal menjawat jawatan Speaker Parlimen.
Sidang majlis mesyuarat penggal pertama persidangan Dewan Rakyat pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan diadakan pada 19 November ini.
Selain Johari yang bakal mewakili blok kerajaan, nama bekas Ahli Parlimen Kangar, Tan Sri Mohd Radzi Sheikh Ahmad difahamkan turut dicalonkan blok pembangkang diketuai Perikatan Nasional (PN) bagi jawatan itu.
Berdasarkan Aturan Urusan Mesyuarat Dewan Rakyat, usul undi percaya terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diletakkan sebagai urusan persidangan paling utama, diikuti pelantikan Speaker atau Yang Dipertua Dewan Rakyat baharu.
Aturan mesyuarat seterusnya diikuti upacara angkat sumpah ahli-ahli Parlimen yang menang PRU15 diikuti pemilihan dua Timbalan Speaker Parlimen.
Pada 2 Disember, media melaporkan, Tan Sri Azhar Azizan Harun mengesahkan akan mengosongkan kedudukannya sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat sebelum Parlimen bersidang.
Bagi jawatan Timbalan Speaker Parlimen, Ahli Parlimen Lanang daripada DAP, Alice Lau dan Ahli Parlimen Cameron Highlands, Ramli Md Nor daripada Barisan Nasional (BN) dilapor dicalonkan bagi blok kerajaan.
Manakala PN dilaporkan akan mencalonkan bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Mas Ermieyati Samsudin bagi jawatan Timbalan Speaker Parlimen.
Memetik Sinar, sumber Pejabat Parlimen memaklumkan seseorang ahli politik yang tercalon bagi jawatan Speaker Parlimen harus melepaskan jawatannya sebagai wakil rakyat di peringkat DUN negeri bagi mengelakkan pertindihan tugasan.