BANGI, Ahad – Pengurusan tapak perkhemahan, Father’s Organic Farm menzahirkan rasa simpati kepada semua mangsa yang terjejas akibat tragedi tanah runtuh yang berlaku di kawasan penyeliaan syarikat itu pada Jumaat lalu.
“Kami dengan rendah memohon maaf kepada semua mangsa terjejas akibat tragedi.”
Menerusi kenyataan tapak perkhemahan itu yang disiarkan menerusi laman Facebook rasminya pada Ahad, pengurusan tapak berkenaan turut menzahirkan ucapan takziah kepada semua waris mangsa yang terlibat.
“Hati kami bersama anda semua dan semoga roh mereka yang terkorban tenang di sana. Kami juga mendoakan mangsa yang terselamat sembuh sepenuhnya dan jaga diri baik-baik.”
Father’s Organic Farm turut berkongsi rasa duka cita dan simpati mereka terhadap semua mangsa dan waris yang terkesan akibat tragedi berkenaan.
Misi mencari dan menyelamat (SAR) sembilan lagi mangsa tanah runtuh yang hilang masih diteruskan.
Sementara itu, 24 nyawa lain terkorban daripada keseluruhan 94 orang yang terbabit dalam tragedi itu.
Tragedi tanah runtuh itu berlaku pada pukul 2.42 pagi Jumaat lalu di sepanjang hampir 300 meter dan setinggi 70 meter di tapak perkhemahan yang terletak di Jalan Genting – Batang Kali.