BANGI, ISNIN – Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen ke-15 sesi petang kecoh seketika apabila berlaku pertikaman lidah antara Ahli Parlimen blok kerajaan dan pembangkang.
Kekecohan bermula selepas Datuk Seri Dr Shahidan Kassim (Arau) mempersoal kandungan usul undi percaya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dikemukakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Ketika bangkit mencelah, Shahidan berkata, tidak sepatutnya institusi diraja terutamanya Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja digunakan untuk mempengaruhi sidang Dewan Rakyat.
“Kita tidak boleh menggunakan perkataan Yang di-Pertuan Agong atau Raja-Raja Melayu untuk mempengaruhi majlis mesyuarat. Kita tidak perlu pakai, kita bawa usul tanpa menggunakan benda ini.
“Bagi kami (pembangkang), kalau Yang di-Pertuan Agong sudah absah kenapa hendak bawa ke sini lagi, jadilah Perdana Menteri,” katanya.
Ucapan Shahidan itu bagaimanapun tidak dipersetujui Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzah.