BAGAI kaduk naik junjung.
Mungkin ini adalah peribahasa paling sesuai untuk menggambarkan sikap individu tidak bertanggungjawab yang mahu merosakkan perpaduan kaum di negara ini.
Mereka sungguh biadab. Lepas satu, satu lagi isu perkauman dimainkan pihak tertentu bagi mencapai niat jahat mereka.
Tidak puas mempersoalkan kedudukan Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua negara dan agama Islam di Malaysia, puak-puak ini menjolok pula kuasa Raja-Raja Melayu.
Ada pula yang bercita-cita mahu menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara republik seperti Singapura.
Dalam diam-diam, tukar tulisan pada papan tanda jalan. Kemudian cuba melaksanakan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Pembasmian Diskriminasi Kaum (ICERD) dan meratifikasi Statut Rom.
Ada individu yang ‘berakal pendek’ menghina penghulu umat Islam, Nabi Muhammad SAW sama ada dengan perkataan atau karikatur.
Tiba-tiba muncul ‘sekawan’ manusia yang menentang sekeras-kerasnya pelaksanaan seni khat atau tulisan jawi.
Mereka bimbang anak- anak mereka ‘murtad’ jika belajar tiga muka surat tulisan jawi yang akan dilaksanakan. Namun, tindakan dua jutawan ‘tua’ menghina Jalur Gemilang dan anggota tentera boleh dianggap sangat biadab.
Selepas melukakan hati rakyat Malaysia, ahli perniagaan itu membuat permohonan maaf yang seolah-olah tidak menggambarkan mereka telah melakukan satu perbuatan keji dan sangat hina.
Fahamilah, kedudukan agama Islam dan bahasa Melayu termaktub dalam Perlembagaan. Sudah tentu, kedua-duanya ada keistimewaan.
Begitu juga dengan Yang di-Pertuan Agong dan raja-raja Melayu.
Malaysia adalah sebuah negara berbilang kaum, agama dan bangsa. Kita adalah sebuah negara majmuk yang sudah lebih 60 tahun merdeka.
Bangsa Melayu, Cina dan India di Semenanjung Malaysia manakala etnik Kadazan di Sabah serta Iban di Sarawak adalah rakyat negara ini.
Kita semua warganegara Malaysia. Tidak ada istilah pendatang kerana semuanya telah tertulis dalam Perlembagaan Persekutuan. Jangan nak jadi petualang yang merosakkan kemakmuran negara ini.
Jangan sesekali cuba menyalakan api perkauman yang kelak membakar diri sendiri.
Malaysia milik kita bersama. Berapa ramai anak-anak yang lahir hasil perkahwinan campur di negara ini? Malah, mungkin ada antara saudara-mara kita yang berkahwin atau lahir daripada proses ini.
Adakah mereka juga pendatang dan perlu diusir keluar dari negara ini?
Apa yang penulis tahu, istilah pendatang ini boleh ditujukan kepada warga asing yang menetap di negara ini secara haram.
Sama ada mereka masuk secara haram, tinggal di negara ini melebihi tempoh, menyalahgunakan pas lawatan sosial, pas pelajar atau sebagainya.
Mari kita berganding bahu menggempur dan menghantar pulang pendatang haram ini. Lihat bagaimana pendatang dari Indonesia terutamanya warga Aceh membina perkampungan dan menguasai sektor perniagaan.
Lihatlah kewujudan perkampungan Pakistan yang turut menguasai sektor perniagaan. Tidak kurang juga dengan lambakan warga Afrika, Bangladesh, Myanmar, Kemboja, Vietnam dan sebagainya. Tidak kurang juga kewujudan gadis pelayan pelanggan (GRO) di pusat-pusat hiburan.
Sebahagian daripada mereka merompak hasil kekayaan negara, mengganggu ketenteraman penduduk tempatan, melakukan jenayah dan aktiviti sosial yang menyimpang daripada norma-norma masyarakat tempatan.
Berapa bilion wang negara mengalir keluar secara harap pada setiap tahun?
0