BANGI, Rabu – Ketiadaan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar di tempat banjir sejak Ahad lalu terjawab apabila pemimpin itu disahkan berada di Auckland, New Zealand.
Perkara itu disahkan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Bencana Terengganu Hanafiah Mat sambil memaklumkan Ahmad Samsuri akan pulang hari ini.
Hanafiah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga dan Perpaduan Nasional Terengganu berkata, beliau tidak pasti masa ketibaan Menteri Besar itu.
“Insya-Allah, Menteri Besar akan balik dari New Zealand hari ini tapi jam berapa tidak dapat dipastikan.
Terdahulu, bekas ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam mendakwa Ahmad Samsuri kini berada di luar negara walaupun Terengganu dilanda banjir besar.
Beliau juga mendakwa mempunyai bukti Ahmad Samsuri sedang bercuti bersama keluarganya di Auckland.
Lokman berkata, Ahmad Samsuri dan isterinya berlepas ke Auckland pada 11 Disember dan dijangka pulang pada esok.
Dalam pada itu, Setiausaha Kelab Sahabat Ma’ruuf Terengganu (KSMT), Imran Azmi, berkata semua pemimpin sepatutnya berada di dalam negeri sepanjang musim tengkujuh yang biasanya berlaku pada penghujung tahun.
“Ketiadaan mana-mana pemimpin, apatah lagi seorang Menteri Besar ketika rakyat sedang berada dalam keadaan huru-hara akibat banjir terburuk, tidak sepatutnya berlaku.
“Walau apa juga alasan beliau tidak turun ke lokasi untuk bertemu empat mata dengan mangsa banjir, penjelasan perlu dibuat supaya tidak menimbulkan fitnah atau prasangka dalam kalangan rakyat negeri sendiri,” katanya.
Kali terakhir Ahmad Samsuri dilihat berada di Terengganu ketika mengiringi Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dan Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah ke Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Terengganu (UMT) kali ke-20 pada 11 Disember lalu.
Sehari sebelum majlis itu, Naib Presiden PAS itu sempat meninjau keadaan mangsa banjir di beberapa PPS di sekitar Chendering dan Atas Tol di sini serta Tok Jembal di Kuala Nerus.