BANGI, Rabu – Kerajaan Persekutuan mengumumkan bantuan segera sebanyak RM100 juta kepada Kelantan dan Terengganu yang dilanda banjir teruk.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bantuan itu bagi membantu mangsa banjir yang terjejas di dua negeri berkenaan.
“Memandangkan banjir lebih parah dari biasa, saya bersetuju selepas mengadakan perbincangan dengan Jemaah Menteri untuk meluluskan bantuan segera RM50 juta bagi Kelantan dan RM50 juta untuk Terengganu.
“Bantuan ini bagi membantu mangsa banjir memandangkan kebanyakan mangsa yang terkesan adalah golongan miskin,” katanya pada sidang media ketika melawat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Tengku Panglima Raja, Pasir Mas, Kelantan hari ini.
Turut hadir, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob; Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Zainin Husin.
Pada masa sama, kerajaan juga akan meneruskan bantuan banjir RM1,000 kepada setiap ketua isi rumah (KIR) yang terkesan.
“Manakala, bantuan RM10,000 bagi keluarga yang kematian ahli keluarga akibat banjir dan bayaran berkenaan akan diberikan kepada KIR.
“Mangka banjir berkenaan perlu mendaftar di PPS dan kita serahkan kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) untuk menguruskan perkara itu,” katanya.