BANGI, Jumaat – Polis menumpaskan kegiatan perjudian bola sepak Piala Dunia 2022 di Qatar dengan penahanan 690 ‘bookie’ atau ‘punter’ menerusi serbuan di seluruh negara sejak 19 November lalu.
Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, statistik Op Soga IX sehingga 21 Disember itu dijalankan hasil 530 serbuan.
“Selangor merekodkan jumlah tangkapan tertinggi iaitu seramai 179 orang diikuti Kuala Lumpur (142), Johor (59), Negeri Sembilan (57), Sarawak (54), Pulau Pinang (43), Sabah (41) dan Kedah (32).
“Bagi negeri lain adalah Melaka (27), Pahang (18), Perak (17), Terengganu (11), Perlis (6) serta Kelantan (4),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, polis telah merampas nilai had kredit dalam perisian berjumlah RM22.3 juta, dolar Hong Kong 382,995.60, wang tunai RM518,563 serta 500 dolar Singapura.
Katanya, turut dirampas antaranya 74 komputer, 47 komputer riba, empat tablet, telefon bimbit (817), mesin kira-kira (3), router (24), 120 helai keping kertas catitan disyaki pertaruhan serta 27 keping jadual perlawanan bola sepak Piala Dunia.