BANGI, Sabtu – Selepas sembilan hari mencari, mangsa terakhir tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm dipercayai sudah ditemui.
Media yang berkampung sejak awal pagi tadi terdengar suara-suara anggota yang terlibat dalam operasi ini menyebut ‘alhamdulillah’.
Ketika berita ini ditulis, difahamkan mayat kanak-kanak itu sedang dibawa naik dari lokasi.
Mayat mangsa terakhir itu ditemui jam 4.45 petang.
Dalam cuaca terik, pasukan yang terlibat melakukan misi mencari tanpa henti sejak jam 7.30 pagi dengan bantuan 10 anjing pengesan dan sembilan jengkaut. Pada masa ini, trak polis yang dipercayai akan digunakan untuk membawa mayat terakhir ke Hospital Sungai Buloh sudah tiba di lokasi.
Setakat hari ini, tragedi runtuhan yang berlaku pada awal pagi 16 Disember lalu telah meragut 30 nyawa, manakala 61 selamat dengan berbaki seorang lagi masih hilang iaitu kanak-kanak lelaki.
Seramai 92 mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian berkenaan. – Malaysia Gazette