BANGI, Ahad – Bacaan tahap kosong ton sebanyak tiga kali berturut-turut direkodkan di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih pagi tadi, sekali gus membolehkan loji itu beroperasi semula selepas dihenti tugas semalam akibat pencemaran bau.
Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dalam kenyataan berkata, pengoperasian semula ini membabitkan proses pembersihan dan rawatan air yang dijangka akan mengambil masa kira-kira 12 jam.
“Selepas proses pembersihan dan rawatan itu, bekalan air terawat yang bersih dan selamat akan mula diagihkan secara berperingkat kepada pengguna di kawasan terjejas akibat penutupan LRA berkenaan,” menurut satu kenyataan Air Selangor hari ini.
Setakat ini, 85 lori tangki air giat digerakkan bagi memberikan bantuan bekalan air kepada pengguna di kawasan terjejas.
Bantuan bekalan air diberikan keutamaan kepada premis kritikal seperti hospital, klinik, pusat dialisis dan upacara pengebumian di sepanjang tempoh gangguan bekalan air tidak berjadual ini.