BANGI, Selasa – Syarikat penerbangan Batik Air yang sebelum ini dikenali sebagai Malindo Air, meluahkan rasa kesal susulan kelewatan penerbangan ke Kuching, Sarawak pada 22 Disember lalu.
Menerusi kenyataan hari ini, Batik Air berkata, pihaknya akan menghubungi semua penumpang terkesan bagi menyampaikan baucar istimewa secara percuma kepada mereka.
Mengakui kesal dengan kelewatan itu, syarikat penerbangan tambah murah berkenaan turut menyatakan akan memperbaiki kelemahan operasi dan melakukan penambahbaikan dalam penyampaian perkhidmatan.
Menurut jurucakap syarikat itu, penerbangan ke Kuching (Sarawak) dan Trichy, India dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada tarikh tersebut terganggu akibat cuaca buruk dan masalah teknikal pada pesawat.
“Kelewatan ini menimbulkan banyak kesulitan kepada kebanyakan penumpang kami. Kami sudah mengambil langkah tambahan untuk memastikan operasi penerbangan kami berjalan lancar dan kejadian ini amat dikesali.
“Kami tidak berniat untuk menyebabkan kelewatan itu berpanjangan dan ingin meyakinkan orang ramai bahawa keadaan sudah diperbetul dan yakinlah bahawa operasi kami di terminal KLIA sudah kembali seperti biasa,” katanya.
Menurutnya, baucar makanan disediakan semasa kelewatan untuk penumpang terjejas, tetapi tidak dapat memberikan tempat penginapan kerana semua bilik hotel habis ditempah, dan tiada kedai makanan dibuka selepas tengah malam di terminal tersebut.
“Kami amat kesal dan memohon maaf kerana kelewatan itu menimbulkan banyak kesulitan kepada penumpang dan keluarga mereka,” katanya.
Ujarnya lagi, syarikat itu sedang menyiasat punca kejadian yang menyebabkan berlaku kelewatan ke atas dua penerbangan terbabit.
“Punca kejadian sedang disiasat dan kami akan melihat sebarang kelemahan operasi untuk penambahbaikan berterusan dalam penyampaian perkhidmatan pelanggan kami.
“Sebagai maklum balas, Batik Air akan menghubungi semua penumpang yang terjejas untuk memberikan mereka baucar percuma khas,” katanya, lapor Getaran.
Semalam, Anthony Loke memaklumkan, Malindo Air akan menghubungi semua penumpang yang terjejas untuk memohon maaf atas kesulitan baru-baru ini.
Salam Saudara Firdaus, saya dah hubungi pengurusan @malindoair ..mereka akan hubungi semua penumpang yang terjejas untuk memohon maaf dan mengambil tanggungjawab. https://t.co/YqzWlJEgvT
— Loke Siew Fook (@anthonyloke) December 26, 2022
Menurut beliau, perkara itu dimaklumkan syarikat penerbangan terbabit selepas dihubunginya.
YB @anthonyloke please do somethinglah to Malaysia punya airline operator. @malindoair tak ada hati perut ker nak maklum kan kepada pelanggan hantar blanket atau neck pillow at least. Delayed dari jam 11 ke 6 pagi dalam airport sejuk macam ni? Tolonglah elok sikit. pic.twitter.com/uRv1i8bgWG
— Mohd Firdaus Jailan (@firdausjailan) December 22, 2022
Terdahulu, seorang pengguna Twitter @firdausjailan menggesa Anthony Loke melakukan tindakan segera terhadap pihak pengurusan Malindo Air di atas sikap lepas tangan mereka terhadap penumpang yang ‘tersidai’ lama di lapangan terbang gara-gara penerbangan ditangguhkan.