BANGI, Rabu – Keputusan Barisan Nasional (BN) untuk bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) bagi menubuhkan kerajaan persekutuan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan bukannya dengan Perikatan Nasional (PN) seperti penggal lalu adalah kerana kerjasama dengan PN akan membawa lebih banyak mudarat
Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi berkata, BN membuat analisis berkenaan gabungan politik mana yang akan membawa paling kurang mudarat kepada BN dalam jangka panjang.
“Kami buat analisis, bukan sahaja sekarang tapi untuk jangka sederhana dan panjang. Mudarat mana yang kurang, yang boleh terus relevankan UMNO.
“Majlis Tertinggi (MT) UMNO putuskan lebih banyak mudarat dengan PN.
“Mereka bertanding di kawasan sama yang kami bertanding, di kawasan Malayu, yang ada kelompok Melayu. Kita berperang di gelanggang yang sama,” katanya dalam wawancara yang disiarkan secara langsung di saluran Youtube NRChannel malam tadi.
Justeru, UMNO memilih untuk berpihak kepada PH kerana ia akan menjamin survival politik parti itu dan BN.
“Bersama PH, (UMNO ada) potensi besar untuk menang semula kawasan yang dulu (dapat) kurang undi. Kita boleh gali semula potensinya,” katanya.
Tanpa menyebut sebarang nama secara khusus, Ahmad Zahid mendedahkan ada dua ahli MT yang tidak setuju dengan kerjasama bersama PH.
“Tak lebih dua orang (anggota MT) yang tak setuju.
“Adakah ini tidak demokratik? Adakah saya guna kuasa autokratik ataupun saya seorang diktator yang buat keputusan sendiri? Saya jaga kepentingan parti,” katanya sambil menambah walaupun ada perbezaan pandangan, semua perlu akur apabila MT sudah mencapai keputusan muktamad.
Ahmad Zahid sebelum ini berdepan bantahan dalam BN kerana didakwa mengambil keputusan menyokong Pengerusi PH, Anwar Ibrahim bertentangan dengan keputusan gabungan parti itu.
Pemimpin MCA dan MIC juga menggesa Ahmad Zahid meletakkan jawatan sebagai Pengerusi BN.
Semalam, Ahmad Zahid berkata, beliau telah memaafkan pemimpin tersebut dan faham mereka berdepan tekanan dalaman yang hebat.
Timbalan Perdana Menteri itu juga berkata, beliau telah memaafkan 10 Ahli Parlimen UMNO yang dikatakan menyokong Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menjadi Perdana Menteri.
“Jangan dikenang peristiwa yang sudah berlalu. Mari kita move on.
“Bentuk gagasan baharu, perkukuhkan parti, siap siagakan parti untuk hadapi landskap politik baharu. Ketepikan perbezaan antara kita,” katanya.
Mengulas rasa tidak senang beberapa pihak terhadap kerjasama UMNO dengan DAP dalam kerajaan, Ahmad Zahid berkata, kemarahan itu patut dihalakan kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Menurut Ahmad Zahid, Mahathir patut dipersalahkan kerana ‘mendoktrin’ selama 22 tahun dan memberi ‘gambaran yang sangat negatif’ terhadap DAP.